Kanser Dubur: Punca, Simptom & Rawatan

by Oh! Semput


9
SHARES
122
VIEWS
Posted on 06 Dec 2022 18:00:15

Apakah punca kanser dubur? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kanser dubur.

Pengenalan

Kanser dubur (rektum) merupakan sebahagian daripada kanser kolorektal yang paling banyak dihidapi oleh golongan lelaki di Malaysia. Kanser kolorektal ialah kanser yang berasal daripada usus besar dan dubur merupakan sebahagian daripadanya. Kanser dubur (kanser rektum) dan kanser di dalam kolon (kanser kolon) sering dirujuk bersama sebagai “kanser kolorektal.” 

Kanser kolon dan rektum adalah salah satu satu daripada kanser yang kerap berlaku di dunia. Di Semenanjung Malaysia pada tahun 2002, ia merupakan kanser tertinggi di kalangan lelaki dan ketiga di kalangan wanita.

Bangsa Cina mencatatkan bilangan tertinggi pesakit kanser kolon dan rektum. Kanser kolon dan rektum biasanya bermula dengan pertumbuhan polip (ketulan) yang berubah kepada kanser. Pemeriksaan berkala amat penting bagi membolehkan polip dibuang dengan segera sekiranya didapati pada individu.

Punca

Kanser rektum bermula apabila sel-sel yang sihat dalam rektum mengalami perubahan (mutasi) dalam DNA mereka. DNA sel mengandungi arahan yang memberitahu sel apa yang perlu dilakukan.

Mutasi tersebut akan mengarahkan sel untuk membesar tanpa kawalan dan terus hidup walaupun terdapat kerosakan. Sel-sel yang membiak dan terkumpul tersebut akhirnya boleh membentuk tumor. Lama kelamaan, ia boleh menyerang dan memusnahkan tisu organ yang berdekatan. Pada peringkat akhir, sel-sel kanser tersebut boleh terpisah dari tempat awal pertumbuhannya dan bergerak (metastasis) ke bahagian badan yang lain. Hal ini boleh menyukarkan rawatan.

Bagi kebanyakan kanser rektum, punca terjadinya mutasi ini tidak dapat dijelaskan. Namun begitu, bagi sesetengah pesakit, punca kanser mereka ialah daripada mutasi genetik yang diwarisi dalam keluarga. Dua sindrom kanser kolorektal genetik yang paling banyak didapati ialah:

  • Sindrom Lynch. Sindrom Lynch, juga dikenali sebagai kanser kolorektal bukan poliposis keturunan (HNPCC), meningkatkan risiko kanser kolon dan kanser lain. Orang dengan sindrom Lynch cenderung untuk menghidap kanser kolon sebelum umur 50 tahun.
  • Poliposis adenomatous keluarga (FAP). FAP adalah penyakit yang jarang berlaku. Ia menyebabkan pertumbuhan beribu-ribu polip dalam lapisan kolon dan rektum. Orang yang mempunyai FAP yang tidak dirawat mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk mendapat kanser kolon atau rektum sebelum umur 40 tahun.

Risiko

Berikut merupakan risiko-risiko menghadapi kanser rektum:

  • Golongan berusia. Lebih daripada 90% kes kanser kolon dan rektum di Malaysia berlaku pada pesakit yang berusia melebihi 40 tahun.
  • Pesakit yang menghidapi penyakit keradangan usus seperti ulcerative colitis dan Crohn’s disease yang boleh memberi keradangan yang berpanjangan dan mengubah struktur kolon dan rektum.
  • Wanita yang mempunyai sejarah kanser seperti kanser ovari, rahim atau payudara.
  • Sejarah keluarga yang pernah menghidapi kanser kolon atau rektum terutamanya yang menghidapinya sebelum berumur 60 tahun.
  • Memakan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kurang serat.
  • Merokok. Kajian menunjukan perokok lebih banyak menghidapi kanser kolon dan rektum berbanding dengan individu yang tidak merokok.
  • Berat badan berlebihan dan kurang aktiviti fizikal. Individu dengan cara hidup yang tidak aktif dan individu lebih berat badan atau obesiti meningkatkan risiko kanser kolon dan rektum.

Simptom

Antara simptom-simptom kanser rektum ialah:

  • Perubahan dalam tabiat buang air besar, seperti cirit-birit, sembelit atau pergerakan usus yang lebih kerap
  • Najis berwarna merah gelap atau terdapat darah pada najis
  • Najis yang nipis
  • Sensasi seperti usus tidak dapat dikosongkan sepenuhnya
  • Sakit perut
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
  • Kelemahan atau keletihan

Pemeriksaan dan Ujian

Kanser rektum boleh didapati semasa ujian saringan untuk kanser kolorektal. Ia amat digalakkan bagi pesakit lelaki yang berumur 50 tahun dan ke atas di Malaysia. Antara ujian dan prosedur yang digunakan untuk mengesahkan diagnosis kanser rektum termasuklah:

  • Kolonoskopi. Kolonoskopi dilakukan dengan menggunakan skop untuk memeriksa bahagian dalam kolon dan rektum. Prosedur ini menggunakan tiub yang panjang dan fleksibel (kolonoskop) yang dipasang pada kamera video kecil dan monitor untuk melihat dinding kolon dan rektum.
  • Biopsi. Biopsi ialah mengeluarkan sampel tisu untuk ujian (biopsi). Jika terdapat mana-mana bahagian rektum yang mencurigakan dan berbentuk seperti ketumbuhan semasa kolonoskopi dijalankan, sampel tisu tersebut akan dikeluarkan dengan menggunakan alat halus yang boleh dimasukkan bersama-sama skop tersebut. Sampel tisu yang diambil akan dihantar ke makmal untuk diperiksa oleh doktor yang pakar dalam menganalisis darah dan tisu badan (patologi). Ujian makmal ini boleh menentukan sama ada sel itu kanser, tahap agresifnya dan memeriksa mutasi genetik sekiranya ada.

Antara ujian lain yang dilakukan untuk memeriksa sekiranya kanser telah merebak ialah:

  • Ujian darah. Ujian darah ini boleh menunjukkan sama ada sel darah merah telah berkurangan yang boleh disebabkan oleh kanser dan sel darah putih yang tinggi yang boleh memberikan gambaran sekiranya terdapat jangkitan kuman pada bahagian yang terdapat kanser.
  • Antigen karsinoembrionik (CEA). Kanser kadangkala menghasilkan bahan yang dipanggil penanda tumor yang boleh dikesan dalam darah. Salah satunya ialah antigen karsinoembrionik (CEA), yang boleh meningkat dalam kanser kolorektal. 
  • Ujian pengimejan. Ujian pengimejan seperti CT scan dan MRI boleh dilakukan untuk memeriksa sekiranya kanser rektum telah merebak ke organ lain, seperti hati dan paru-paru.

Rawatan

Antara rawatan yang diberikan bagi kanser rektum termasuklah:

  • Pembedahan. Kanser rektum sering dirawat dengan pembedahan untuk membuang sel-sel kanser. Terdapat beberapa jenis pembedahan yang boleh dilakukan dan ia bergantung kepada mana satu yang terbaik untuk pesakit dan bergantung kepada beberapa perkara tertentu seperti seperti lokasi dan tahap kanser, tahap agresif sel kanser, kesihatan pesakit secara menyeluruh dan pilihan pesakit. Operasi yang digunakan untuk merawat kanser rektum termasuklah membuang hanya bahagian yang terdapat kanser, membuang sebahagian atau keseluruhan rektum dan membuang keseluruhan rektum dan lubang dubur.
  • Kemoterapi. Kemoterapi ialah rawatan yang diberikan dengan menggunakan ubat untuk memusnahkan sel kanser. Untuk kanser rektum, kemoterapi mungkin disyorkan selepas pembedahan untuk membunuh mana-mana sel kanser yang mungkin kekal.Kemoterapi yang digabungkan dengan radioterapi juga boleh digunakan sebelum pembedahan untuk mengecutkan kanser yang bersaiz besar supaya lebih mudah dikeluarkan dengan pembedahan. Kemoterapi juga boleh digunakan untuk melegakan simptom kanser rektum yang tidak boleh dibuang dengan pembedahan atau yang telah merebak ke bahagian lain badan.
  • Radioterapi. Radioterapi menggunakan sumber tenaga seperti sinar-X dan proton, untuk membunuh sel-sel kanser. Pada orang yang menghidap kanser rektum, radioterapi selalunya digabungkan dengan kemoterapi yang menjadikan sel-sel kanser lebih berkemungkinan rosak oleh sinaran. Ia boleh digunakan selepas pembedahan untuk membunuh mana-mana sel kanser yang mungkin kekal. Ia juga boleh digunakan sebelum pembedahan untuk mengecutkan kanser dan memudahkan untuk membuangnya.
  • Imunoterapi. Imunoterapi ialah rawatan ubat yang menggunakan sistem imun pesakit untuk melawan kanser. 
  • Penjagaan paliatif. Penjagaan paliatif bertujuan untuk memberikan kelegaan daripada kesakitan dan gejala lain terutamanya kepada pesakit tahap akhir yang tidak dapat dirawat sepenuhnya. Pakar penjagaan paliatif akan bekerjasama dengan pesakit, keluarga anda dan doktor untuk memberikan sokongan tambahan bagi penjagaan berterusan. Ia diberikan oleh sekumpulan doktor, jururawat dan golongan profesional lain yang terlatih. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup bagi penghidap kanser dan keluarga mereka. Rawatan ini diberikan bersama rawatan kuratif atau rawatan lain yang diterima.

Komplikasi dan Prognosis

Kanser rektum boleh dirawat dengan sepenuhnya sekiranya dikesan pada peringkat awal. Secara amnya, kadar kelangsungan hidup selama lima tahun bagi kanser rektum ialah 63%.

Ini bermakna, kira-kira 63% orang yang mempunyai kanser rektum akan hidup dalam tempoh lima tahun berbanding orang yang tidak mempunyai kanser rektum. Kadar kelangsungan hidup lima tahun bagi pesakit kanser rektum setempat (kanser rektum belum merebak ke bahagian lain) ialah 91%.

Ini bermakna bahawa orang yang mempunyai kanser rektum peringkat awal mempunyai 91% kemungkinan hidup dalam tempoh lima tahun berbanding orang yang tidak mempunyai kanser rektum.

Perlu diingat bahawa kadar kelangsungan hidup adalah anggaran berdasarkan orang yang pernah menghidap kanser rektum dan tidak dapat menggambarkan kadar kelangsungan hidup bagi seseorang individu.

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, May 18). Rectal cancer. Mayo Clinic.
  2. Rectal cancer: What is it, signs, stages & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).

Kanser Dubur: Punca, Simptom & Rawatan Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts