Kanser leukemia: Punca, Simptom & Rawatan

by Oh! Semput


6
SHARES
76
VIEWS
Posted on 06 Dec 2022 18:00:17

Apakah simptom kanser leukemia? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kanser leukemia ini.

Pengenalan

Leukemia merupakan sejenis kanser darah yang berasal dari sum-sum tulang. Sum-sum tulang merupakan satu organ penghasilan darah yang terdapat di dalam kesemua tulang dalam tubuh badan manusia. Sel-sel leukemia merupakan sel kanser yang luar biasa dan berupaya membiak dengan cepat serta hidup lebih lama berbanding sel-sel darah yang normal. Oleh sebab itu, sel-sel leukemia mampu menghapuskan fungsi sum-sum tulang dan menghalang penghasilan sel-sel darah yang normal.

Terdapat pelbagai jenis leukemia dan adalah penting untuk mengenal pasti jenis leukemia yang dihadapi. Ini adalah disebabkan rawatan dan peluang sembuh untuk leukemia yang berlainan adalah berbeza.

Terdapat 2 jenis leukemia yang utama iaitu “Acute Leukaemia” atau “Chronic Leukaemia”. Perbezaaan utama diantara kedua-dua jenis leukemia ini adalah kematangan dan kepantasan sel-sel kanser itu membiak. “Acute Leukaemia” adalah sel kanser yang kurang matang dan membiak dengan pantas berbanding “Chronic Leukaemia” yang terdiri daripada sel kanser yang matang dan membiak dengan perlahan.

Setiap jenis leukemia ini pula dibahagikan kepada dua bentuk utama bergantung kepada sel darah asal dimana leukemia ini mula terjadi iaitu dari jenis “myeloid” atau “lymphoid”. Dengan ini terdapat 4 kumpulan penyakit leukemia yang utama iaitu ;

  • Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL)
  • Chronic Lymphocytic Leukaemia (CLL)
  • Acute Myeloid Leukaemia (AML)
  • Chronic Myeloid Leukaemia (CML)

Punca

Leukemia berlaku apabila terdapat perubahan atau mutasi pada DNA yang terdapat dalam sel-sel darah. DNA sel boleh mengawal pembiakan sel tersebut. Oleh itu, apabila DNA ini termutasi, sel tidak mampu mengawal pembiakan dan pertumbuhannya sendiri dan hal ini mengakibatkan sel tersebut membiak tanpa kawalan, yang akhirnya membuatkan tulang sumsum penuh dan melimpah dengan sel-sel darah yang tidak normal. Sel-sel darah yang rosak ini tidak akan mampu berfungsi dengan baik, lalu menyebabkan simptom-simptom leukemia.

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko menghidapi leukemia termasuklah:

  • Pernah mendapat rawatan kanser. Orang yang pernah menjalani kemoterapi dan radioterapi untuk kanser lain mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi leukemia tertentu.
  • Gangguan genetik. Keabnormalan genetik memainkan peranan dalam perkembangan leukemia. Gangguan genetik tertentu, seperti sindrom Down, dikaitkan dengan peningkatan risiko leukemia.
  • Terdedah kepada bahan kimia tertentu. Pendedahan kepada bahan kimia tertentu, seperti benzena yang terdapat dalam petrol dan dalam industri kimia dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa jenis leukemia.
  • Merokok. Menghisap rokok boleh meningkatkan risiko leukemia myelogenous akut.
  • Sejarah keluarga yang menghidapi leukemia. Jika ahli keluarga anda telah didiagnosis dengan leukemia, risiko anda untuk menghidapi leukemia juga meningkat.

Walau bagaimanapun, kebanyakan orang yang mempunyai faktor risiko di atas kebanyakannya tidak juga menghidapi leukemia. Bahkan, ramai penghidap leukemia tidak mempunyai apa-apa risiko tersebut.

Simptom

Simptom leukemia adalah berbeza-beza, bergantung kepada jenisnya. Namun begitu, simptom-simptom yang sering terdapat pada pesakit leukemia termasuklah:

  • Demam atau menggigil
  • Keletihan yang berterusan
  • Lemah badan
  • Kerap mendapat jangkitan kuman atau jangkitan kuman yang teruk
  • Penurunan berat badan tanpa sebab jelas
  • Nodus limfa, hati atau limpa bengkak
  • Kulit atau gusi mudah berdarah atau lebam
  • Pendarahan pada hidung yang kerap berlaku
  • Terdapat bintik merah kecil pada kulit (petechiae)
  • Peluh berlebihan, terutamanya pada waktu malam
  • Sakit tulang

Pemeriksaan dan Ujian

Antara pemeriksaan yang dijalankan untuk mengesahkan diagnosis leukemia termasuklah:

  • Ujian fizikal. Doktor anda akan mencari tanda-tanda leukemia, seperti kulit pucat akibat kurang darah merah, pembengkakan nodus limfa, dan pembesaran hati dan limpa.
  • Ujian darah. Dengan melihat sampel darah, doktor boleh menentukan sama ada tubuh pesakit mempunyai leukemia dengan melihat jumlah sel darah merah, sel darah putih atau platelet. Ujian darah juga mungkin menunjukkan sekiranya terdapat sel leukemia, walaupun tidak semua jenis leukemia akan menunjukkan sel darah tersebut. Hal ini kerana, sebahagian jenis sel leukemia akan kekal di dalam tulang sumsum.
  • Mengeluarkan sampel tulang sumsum. Prosedur ini dilakukan dengan meletakkan jarum yang tebal untuk mengeluarkan sampel sumsum tulang dari tulang pinggul. Sampel ini kemudiannya dihantar ke makmal untuk mencari sel leukemia.

Rawatan

Rawatan untuk leukemia adalah bergantung kepada banyak faktor seperti umur dan kesihatan keseluruhan pesakit, jenis leukemia yang dihidapi dan sama ada ia telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Rawatan yang digunakan untuk merawat leukemia termasuklah:

  • Kemoterapi. Kemoterapi adalah rawatan utama yang diberikan untuk pesakit leukemia. Rawatan ini menggunakan ubat kimia untuk membunuh sel leukemia. Bergantung pada jenis leukemia yang dialami, pesakit akan diberikan satu atau beberapa jenis ubat. Ubat-ubatan ini boleh diambil dalam dalam bentuk pil, atau ia boleh disuntik ke dalam salur darah.
  • Terapi ubat spesifik (targeted therapy). Rawatan ubat ini berbeza dengan kemoterapi dengan memberikan ubat yang boleh mensasarkan sel kanser tersebut melalui struktur sel abnormal yang dikesan. Ia kemudiannya menyebabkan sel kanser tersebut mati. Namun, hanya sesetengah pesakit mendapat manfaat daripada ubat jenis ini dan oleh itu, doktor akan memeriksa pesakit yang boleh memberi tindak balas yang baik sebelum memberikan rawatan ini.
  • Radioterapi. Radioterapi menggunakan sinar-X atau pancaran tenaga tinggi yang lain untuk merosakkan sel leukemia dan menghentikan pertumbuhannya. Rawatan ini diberikan dengan cara pesakit berbaring di atas meja sementara sebuah mesin besar bergerak di sekeliling anda untuk memancarkan sinaran ke bahagian badan yang terdapat kanser. Bukan itu sahaja, bergantung kepada pesakit, mereka juga boleh diberikan radiasi ke seluruh badan. Radioterapi boleh digunakan sebelum pesakit menjalani pembedahan pemindahan sumsum tulang.
  • Pemindahan sumsum tulang. Pemindahan sumsum tulang, juga dipanggil pemindahan sel stem, membantu membina semula sel stem yang sihat dengan menggantikan sumsum tulang yang tidak sihat dengan sel stem bebas leukemia yang akan menjana semula sumsum tulang yang sihat. Sebelum pemindahan sumsum tulang, pesakit akan menerima dos kemoterapi atau terapi sinaran yang sangat tinggi untuk memusnahkan sumsum tulang yang rosak yang menghasilkan leukemia. Kemudian, sel stem akan dipindahkan ke dalam tulang sumsum yang membantu membina semula sumsum tulang yang sihat. Sel stem ini diperolehi sama ada daripada penderma atau peskait boleh menggunakan sel stem mereka sendiri.
  • Imunoterapi. Imunoterapi menggunakan sistem imun pesakit sendiri untuk melawan kanser. Sistem imun badan yang bertugas untuk melawan kanser mungkin tidak menyerang kanser pada pesakit kerana sel kanser menghasilkan protein yang membantu mereka bersembunyi daripada sel sistem imun tubuh. Imunoterapi berfungsi untuk membantu sistem imun badan melawan sel kanser tersebut.

Komplikasi dan Prognosis

Adalah sukar untuk meramalkan prognosis untuk leukemia kerana setiap pesakit adalah berbeza. Hasil rawatn bergantung kepada pelbagai faktor, termasuklah jenis mutasi genetik yang dialami, jenis leukemia, jumlah sel leukemia semasa diagnosis pertama, umur, kesihatan umum, tindak balas badan terhadap rawatan dan sama ada sel leukemia telah merebak ke sistem saraf tunjang. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh The National Cancer Institute, Amerika Syarikat, berikut merupakan kadar hayat pesakit leukemia selama 5 tahun berdasarkan empat jenis leukemia yang paling banyak didapati di dunia:

  • Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL): 69.9%
  • Chronic Lymphocytic Leukaemia (CLL): 87.2%
  • Acute Myeloid Leukaemia (AML): 29.5%
  • Chronic Myeloid Leukaemia (CML): 70.6%

Jumlah di atas menunjukkan peratusan bilangan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun didiagnosis leukemia tersebut. Namun begitu, statistik tersebut hanyalah anggaran sahaja dan tidak menentukan jangka hayat seseorang pesakit.

Secara amnya, leukemia tidak dapat disembuh namun pesakit boleh mencapai remisi. Remisi bermaksud jangka pesakit tidak menunjukkan simptom-simptom leukemia dan tidak memerlukan rawatan. Tempoh remisi ini boleh jadi singkat atau panjang, bergantung kepada pesakit. Remisi boleh berlaku selama beberapa minggu hingga bertahun-tahun, bahkan leukemia mungkin tidak akan kembali, namun hal ini sukar untuk diketahui.

Rujukan:

  1. Leukemia: Symptoms, signs, causes, types & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, September 21). Leukemia. Mayo Clinic.
  3. Leukemia (Kanser Darah) – portal myhealth. (n.d.).

Kanser leukemia: Punca, Simptom & Rawatan Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts