Kanser Buah Pinggang: Punca, Simptom & Rawatan

by Oh! Semput


7
SHARES
87
VIEWS
Posted on 26 Nov 2022 02:00:18

Kanser buah pinggang adalah kanser yang bermula dari buah pinggang. Buah pinggang adalah dua organ yang berbentuk seperti kacang hijau dan bersaiz sebesar penumbuk. Ia terletak di bahagian belakang abdomen. Terdapat beberapa jenis kanser buah pinggang, namun yang paling kerap dihidapi pada pesakit dewasa ialah karsinoma sel renal. Bagi kanak-kanak pula, mereka lebih cenderung untuk menghidap sejenis kanser buah pinggang yang dipanggil tumor Wilms.

Kebelakangan ini, jumlah pesakit kanser buah pinggang telah didapati meningkat. Antara salah satu puncanya ialah kerana kemajuan teknologi teknik pengimejan seperti imbasan tomografi berkomputer (CT) yang semakin kerap digunakan telah berjaya mengesan kanser buah pinggang dengan lebih banyak berbanding sebelum ini secara tidak sengaja. Kanser buah pinggang selalunya ditemui pada peringkat awal iaitu apabila kanser itu masih bersaiz kecil dan belum merebak keluar daripada buah pinggang.

Punca

Punca terbentuknya kanser buah pinggang masih belum mampu dijelaskan oleh kajian. Namun begitu, kajian mendapati bahawa kanser buah pinggang bermula apabila beberapa sel buah pinggang mengalami perubahan (mutasi) di dalam DNA. DNA sel berfungsi sebagai pemberi arahan yang boleh mengarahkan sesebuah sel untuk melakukan aktivitinya.

Contohnya, mutasi ini boleh mengarahkan sel membesar dan membiak dengan sangat cepat, yang akhirnya akan menyebabkan pembentukan sel-sel abnormal seperti tumor. Sel-sel yang termutasi juga kebiasaannya sukar untuk mati setelah mengalami perubahan tersebut. 

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser buah pinggang termasuklah:

  • Umur yang lebih tua. Risiko kanser buah pinggang akan meningkat apabila usia meningkat.
  • Merokok. Perokok mempunyai risiko kanser buah pinggang yang lebih tinggi berbanding bukan perokok. Namun begitu, risiko ini boleh mengurang sekiranya perokok berhenti merokok.
  • Obesiti. Orang yang obes mempunyai risiko kanser buah pinggang yang lebih tinggi daripada orang yang dianggap mempunyai berat badan yang sihat.
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi). Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko kanser buah pinggang.
  • Orang yang menjalani rawatan dialisis. Orang yang menjalani dialisis jangka panjang bagi merawat kegagalan buah pinggang kronik akan mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat kanser buah pinggang.
  • Sindrom genetik tertentu. Orang yang dilahirkan dengan sindrom genetik tertentu seperti penyakit von Hippel-Lindau, sindrom Birt-Hogg-Dube, kompleks sklerosis tuberous, karsinoma papilari buah pinggang dalam keluarga atau kanser buah pinggang dalam keluarga akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi kanser buah pinggang.
  • Sejarah keluarga kanser buah pinggang. Risiko kanser buah pinggang lebih tinggi jika ahli keluarga terdekat menghidap penyakit tersebut.

Simptom

Kanser buah pinggang kebiasaannya tidak mempunyai simptom pada peringkat awalnya. Lama kelamaan, tanda dan gejala mungkin kelihatan, termasuk:

  • Terdapat darah dalam air kencing yang boleh berwarna merah jambu, merah atau berwarna pekat seperti Coca-Cola
  • Sakit di bahagian belakang atau bahagian sisi abdomen yang tidak hilang
  • Hilang selera makan
  • Penurunan berat badan yang tanpa sebab yang jelas
  • Kepenatan
  • Demam

Pemeriksaan dan Ujian

Antara ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis kanser buah pinggang termasuklah:

  • Ujian darah dan air kencing. Ujian darah dan air kencing boleh memberi petunjuk kepada perubahan tubuh yang boleh disebabkan oleh kanser.
  • Ujian pengimejan. Ujian pengimejan membolehkan doktor anda memvisualisasikan tumor atau perubahan pada struktur buah pinggang. Antara ujian pengimejan yang kebiasaannya dilakukan termasuklah ultrasound, X-ray, CT atau MRI.
  • Mengeluarkan sampel tisu buah pinggang (biopsi). Bagi sesetengah pesakit, doktor akan mengesyorkan untuk melakukan biopsi bagi mengambil sel buah pinggang dari kawasan yang mencurigakan atau disyaki terdapat kanser. Sampel ini kemudiannya akan diuji di makmal untuk mencari tanda-tanda kanser. Namun begitu, prosedur ini tidak selalu dilakukan.

Rawatan

Rawatan kanser buah pinggang biasanya dimulakan dengan pembedahan untuk membuang kanser. Bagi kanser yang terhad kepada buah pinggang, pembedahan adalah satu-satunya rawatan yang diperlukan. Jika kanser telah merebak di luar buah pinggang, rawatan tambahan akan disyorkan.

Kebiasaannya, pesakit dan doktor akan membincangkan pilihan rawatan kanser buah pinggang. Rawatan terbaik bagi seseorang pesakit adalah bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kesihatan dan kemampuan tubuh pesakit secara menyeluruh, jenis kanser buah pinggang, sama ada kanser telah merebak dan pilihan pesakit sendiri.

  • Pembedahan. Bagi kebanyakan kanser buah pinggang, pembedahan adalah rawatan yang pertama dilakukan. Matlamat pembedahan adalah untuk membuang kanser sambil mengekalkan fungsi buah pinggang yang normal, sekiranya mampu. Operasi yang digunakan untuk merawat kanser buah pinggang termasuk:
    • Mengeluarkan buah pinggang yang terjejas (nefrektomi). Nefrektomi menyeluruh (radikal) melibatkan pembuangan keseluruhan buah pinggang yang terjejas dan bahagian lain seperti sempadan kanser yang terdapat tisu sihat dan kadangkala turut melibatkan tisu berdekatan seperti nodus limfa, kelenjar adrenal dan lain-lain.
    • Mengeluarkan tumor dari buah pinggang (nefrektomi separa). Juga dipanggil pembedahan nefron-sparing, pakar bedah akan membuang kanser dan sebahagian kecil tisu sihat yang mengelilinginya dan bukan keseluruhan buah pinggang. Ia boleh dilakukan sebagai pembedahan terbuka atau laparoskopi. Ia dilakukan bagi kanser buah pinggang kecil dan menjadi pilihan jika pesakit hanya mempunyai satu buah pinggang. Pembedahan ini juga lebih diutamakan daripada membuang keseluruhan buah pinggang sekiranya boleh dilakukan pada pesakit kerana ia boleh mengurangkan risiko komplikasi seperti penyakit buah pinggang dan dialisis.

Selain itu, terdapat juga rawatan bukan pembedahan seperti membekukan sel kanser (cryoablation) dan memanaskan sel kanser (radiofrequency ablation). 

  • Cryoablation. Semasa cryoablation dilakukan, jarum berlubang khas akan dimasukkan melalui kulit anda dan ke dalam tumor buah pinggang dengan berpandukan ultrasound atau alat pengimejan lain. Kemudian, gas sejuk akan dikeluarkan dari dalam jarum untuk membekukan sel-sel kanser.
  • Rawatan untuk memanaskan sel kanser (radiofrequency ablation). Semasa prosedur ini dilakukan, prob khas akan dimasukkan melalui kulit anda dan ke dalam tumor buah pinggang dengan berpandukan ultrasound atau alat pengimejan lain. Arus elektrik dialirkan melalui prob ini dan akan masuk ke dalam sel kanser, menyebabkan sel menjadi panas atau terbakar.

Bagi kanser buah pinggang peringkat akhir atau berulang, ia mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk tidak dapat dirawat. Namun begitu, terdapat rawatan bagi mengurangkan kesakitan akibat kanser tersebut bagi pesakit-pesakit ini seperti:  

  • Terapi bersasar. Pesakit akan diberikan ubat yang boleh mensasarkan kanser.
  • Imunoterapi. Ubat ini diberikan untuk menguatkan sistem imun tubuh bagi melawan kanser.
  • Radioterapi. Rawatan ini diberikan dengan memancarkan cahaya bertenaga tinggi ke bahagian yang terdapat kanser buah pinggang.

Komplikasi dan Prognosis

Kajian mendapati bahawa, jangka hayat bagi pesakit kanser buah pinggang adalah bergantung pada berapa besar tumor dan sejauh mana ia telah merebak pada semasa ia didiagnosis. Jika kanser masih kecil dan belum merebak di luar buah pinggang, pembedahan selalunya boleh menyembuhkannya. Sesetengah kanser buah pinggang yang kecil dan yang tumbuh dengan perlahan mungkin tidak memerlukan rawatan pada awalnya.

Penyembuhan kebiasaannya agak mustahil setelah kanser telah merebak, walaupun rawatan kadangkala dapat membantu melambatkan pertumbuhan kanser. Bagi sesetengah pesakit ini, keadaan mereka boleh merosot dengan cepat manakala yang lain mungkin akan hidup lebih lama selama beberapa tahun dan tidak merasai apa-apa kesakitan.

Mengikut sebuah kajian di UK, Sekitar 7 dalam 10 orang hidup sekurang-kurangnya selama setahun selepas diagnosis dan sekitar 5 dalam 10 orang akan hidup sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, May 25). Kidney cancer. Mayo Clinic.
  2. NHS. (n.d.). Kidney cancer. NHS choices.

Kanser Buah Pinggang: Punca, Simptom & Rawatan Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Search
Panduan Borong China
Popular Posts