by Oh! Semput
KUANTAN: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan pada Isnin.
Yu Hui berkata, penahanan mereka demi mempertahankan suara pekebun durian di Raub dan menggesa kerajaan Pahang segera menghentikan tindakan penebangan.
Katanya, pekebun sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri.
"Sejak lima hingga enam dekad lalu, mereka telah berusaha memohon geran tanah dan permit penanaman sementara.
"Kini sekalipun wujud campur tangan syarikat besar, asalkan pekebun dilayan dengan adil, kami sedia berbincang dan bekerjasama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau yang merupakan Penasihat Samka berkata, sekiranya kerajaan atau mana-mana konsortium terus mengambil pendekatan keras yang hanya mementingkan keuntungan durian sambil mengabaikan hak pekebun, maka sebarang bentuk kerjasama adalah tidak bermakna.
"Jadi, saya seru agar semua pihak kembali ke meja rundingan dengan meletakkan kepentingan pekebun sebagai keutamaan," katanya.
Sementara itu, Wilson berkata, mereka telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berlangsung.
Namun, beliau kecewa dengan tindakan penebangan pokok durian yang sedang berlangsung.
“Kami para pekebun mematuhi undang-undang tetapi ada pihak yang terang-terangan melanggar perintah mahkamah, terus menebang pokok dan memusnahkan titik peluh para pekebun.
"Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan tetapi mestilah atas asas keadilan dan saling menghormati,” ujarnya.
Pada Isnin, Yu Hui dan Wilson ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bagi membantu siasatan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian musang king ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.#SinarHarian