by Oh! Semput
KUALA LUMPUR, Negara sekali lagi digemparkan dengan tindakan seorang individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran menerusi platform Threads menggunakan akaun “ryandaselva”. Perbuatan itu bukan sahaja dianggap biadab, malah jelas menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, melalui kenyataan di Facebook, menegaskan bahawa insiden seperti ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas. Beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk segera melaksanakan siasatan dan mengambil langkah sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam masa sama, beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI memaklumkan bahawa MCMC akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan tindakan menyeluruh dan tanpa kompromi diambil terhadap individu terbabit, sesuai dengan peruntukan undang-undang yang tersedia.
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan tentang bahaya penyalahgunaan media sosial dan kepentingan menghormati batas sensitiviti agama serta budaya dalam masyarakat majmuk. Kerajaan menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap agama tidak akan diterima dan akan dikenakan tindakan tegas demi menjaga keharmonian negara.
Kecaman Kerajaan Terhadap Penghinaan Al-Quran: Pelajar UMPSA Berdepan Tindakan Tegas MCMC Dan PDRM #1 The News Malaysia.