Keharmonian sambutan Krismas Sabah perlu dikekalkan

by Oh! Semput


15
SHARES
196
VIEWS
Posted on 19 Dec 2016 16:00:44


Pesta Krismas Universiti Malaysia Sabah (UMS)

KOTA KINABALU: Keharmonian dalam menyambut perayaan Krismas oleh pelbagai kaum dan agama di negeri ini perlu dikekalkan dan diteruskan penganjurannya sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata perayaan yang diraikan oleh penganut agama Kristian itu juga seharusnya dirai bersama bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat berbilang agama.

“Keharmonian ini hendaklah dikekalkan dan terus dipraktik dalam pelbagai situasi memandangkan negeri ini terkenal dengan semangat perpaduan yang tinggi.

“Justeru, peluang dan kesempatan seumpama ini harus dihargai dan diteruskan agar pemikiran kita akan lebih terbuka untuk menerima persamaan dan perbezaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia, sekali gus menggalakkan budaya saling hormat menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Krismas Universiti Malaysia Sabah (UMS) edisi kelima 2016, di sini, malam Sabtu lepas.

Mengenai sambutan Krismas pada malam itu, Madius berkata kementerian amat mengalu- alukan sokongan padu pihak pengurusan UMS terhadap program berkenaan yang bukan sahaja menggalakkan kerjasama daripada pelbagai pihak malah menjadi wadah kepada interaksi antara masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Katanya semangat kerjasama melalui penganjuran pesta berkenaan juga amat wajar diterapkan di dalam sanubari setiap siswa siswi agar kesejahteraan pembangunan negara akan terus dapat terpelihara.

“Seperti juga semasa sambutan perayaan lain seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Kaamatan dan Deepavali, kita sungguh bertuah kerana kita dapat menjalin kemesraan menerusi kepelbagaian etnik yang tinggal di Malaysia, khususnya di Sabah melalui sambutan Pesta Krismas pada malam ini (Sabtu).

“Oleh itu, saya merasakan keperluan untuk perayaan Pesta Krismas ini diteruskan pada tahuntahun akan datang agar wujud persefahaman yang lebih ampuh dalam kalangan masyarakat khususnya warga UMS sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Profesor Madya Ismail Ali, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Mohd Harun Abdullah berkata pihak universiti sememangnya tidak melepaskan peluang menganjurkan program sedemikian bagi meningkatkan sahsiah sekaligus mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar.

Bahkan, katanya, pihak UMS berbangga mengambil langkah untuk terus menyokong pelaksanaan perayaan budaya dan agama masyarakat Malaysia dengan harapan acara sedemikian mampu menerapkan nilainilai murni dalam kalangan pelajar.

Selain itu, katanya, hasil usaha pelajar pada program itu juga melambangkan kemahiran insaniah yang kukuh dan kejayaan mereka membuktikan bahawa UMS mampu menghasilkan individu yang berkebolehan tinggi dan bertaraf antarabangsa.


LIKE Kami Sekarang
Untuk Terus Mengikuti Berita Pantas

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts