by Oh! Semput

MOHD Hafiz Sariwana bersama ibunya, Norhayati Rahim. – Foto Abdul Rahemang Taiming
TAWAU: “Kejayaan ini adalah hadiah kepada ibu yang membesarkan kami tiga beradik dengan penuh kasih sayang,” kata Mohd Hafiz Sariwana, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan, Tawau, yang memperoleh 11A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Kejayaan memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran itu membolehkan beliau muncul pelajar terbaik sekolah berkenaan.
“Walaupun hanya dibesarkan dengan kasih sayang seorang ibu dengan keluarga sederhana, ia tidak menghalang saya berusaha mencapai keputusan terbaik dalam PT3.
“Kejayaan ini untuk menggembirakan ibu yang menjaga kami dengan baik. Selain itu, saya juga sentiasa membuat persediaan awal dan memberi tumpuan sepenuhnya di dalam bilik darjah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Mohd Hafiz yang juga anak sulung daripada tiga beradik, berkata ibunya, Norhayati Rahim, 41, yang bekerja sebagai pembantu murid di sebuah prasekolah di daerah ini menguatkan lagi semangatnya untuk mendapat keputusan cemerlang dalam PT3.
“Saya kasihan melihat ibu bekerja keras membesarkan kami tiga beradik. Saya mahu mengubah kehidupan kami menerusi kejayaan dalam pelajaran,” katanya.
Sementara itu, Norhayati berkata, sejak berpisah dengan suaminya kira-kira sembilan tahun lalu, tanggungjawab membesarkan tiga anaknya dengan sempurna dianggap satu amanah yang perlu dipikul.
“Sebagai ibu tunggal, saya meminta anak menjadikan kekurangan dan kesukaran yang kami hadapi dalam kehidupan ini sebagai satu pendorong untuk berusaha mengubah nasib ke tahap lebih baik.
“Saya bersyukur dan sangat gembira dengan keputusan peperiksaan diperoleh Hafiz hari ini. Walaupun ada lagi peperiksaan yang lebih besar selepas ini, saya harap ia permulaan yang baik untuknya mencipta kejayaan pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar SMK Kinabutan, Rismaya Abbas, 16, membuktikan anak seorang pemandu lori mampu mencapai kejayaan cemerlang walaupun hidup dalam kesusahan.
“Saya bersyukur kerana memperoleh keputusan 10A 1B dalam PT3,” katanya yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh.
Category: Semasa