Keluarga pensyarah Palestin minta jenazah dikebumikan di Gaza

by Oh! Semput


HOME Posted on 22 Apr 2018 16:00:49



KUALA LUMPUR: Keluarga pensyarah dan imam warga Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang mati ditembak di Setapak semalam (21 Apr), merayu agar jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan di negara kelahirannya.

Menurut Pengurus Besar Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) Dr Mahmoud Shakfa, keluarga Allahyarham berpesan supaya perkara itu dibuat bagi membolehkan mereka menatap wajah arwah buat kali terakhir setelah tujuh tahun tidak berjumpa.

“Ayah Dr Fadi menghubungi kami meminta supaya jenazahnya dibawa pulang ke tempat kelahirannya di Jabalia, Gaza. Seluruh keluarganya terutama ibu dan adik-beradiknya ingin menatap wajahnya buat kali terakhir.

“Usaha sedang giat dijalankan melalui kerjasama pihak kedutaan Palestin, Mesir dan juga Malaysia bagi urusan logistik untuk membawa jenazah ke Gaza,” kata beliau. Jenazah kini berada di hospital untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, abang mangsa dijangka tiba petang ini (22 Apr) dari Jerman.

Sementara itu, Anggota  Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Mohd Zin Kandar berharap kerajaan membantu memudahkan urusan membawa pulang jenazah ke Palestin.

Badan itu juga berharap kerajaan Mesir memudahkan proses berkenaan atas dasar kemanusiaan.

“Berdasarkan pengalaman, laluan paling pantas untuk ke Gaza adalah melalui Rafah di sempadan Mesir dan Palestin. Jadi harapan kami ialah supaya semua pihak berkaitan dapat memberi kerjasama penuh,” kata beliau.

Insiden yang berlaku sekitar 6.00 pagi semalam,  Dr Fadi ditembak mati ketika berjalan ke surau dekat sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat subuh.

Polis setakat ini tidak mengumumkan identiti mangsa tetapi Kedutaan Palestin menyatakan mangsa dikenali sebagai Dr Fadi Mohammed Al Batsh. 

- BERNAMA/FA/fa

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News