Kenangan konvo yang masih bermakna...

by Oh! Semput


3
SHARES
35
VIEWS
Posted on 18 Oct 2019 20:01:38

SAAT siswazah meraikan kejayaan sempena majlis istiadat konvokesyen di universiti masing-masing, perkongsian seorang pengguna laman sosial menggunakan nama EL, menarik perhatian warganet sejak kelmarin.

Dalam perkongsian di akaun Twitter pemilik nama sebenar, Adilla Kamaruzzaman, 23, dia mengulang kicau gambar berpakaian jubah konvokesyen di pusara yang pernah dimuat naik dua tahun lalu.

“Ini (gambar dikongsi) adalah dua tahun lalu. Saya tidak memiliki apa-apa ketika itu.

“Kini, Alhamdulillah, terima kasih ya Allah menjawab doa saya dan mengurniakan saya penuh rahmat,” tulisnya di Twitter dan mendapat lebih 14,000 ulang kicau sejak dimuat naik pada 16 Oktober lalu.

Menariknya, perkongsian yang dimuat naik di Twitter pada 11 Oktober 2017 pernah tular dengan ulang kicau lebih 39,500 kali oleh warg net yang terharu dengan perkongsian kisah Adilla kematian ibu bapa dan terpaksa menetap di rumah anak yatim.

Adillah dari Port Dickson ketika dihubungi Harian Metro, berkata perkongsian semula ciapan itu sekadar suka-suka sempena meraikan hari istimewa graduan yang meraikan majlis konvokesyen ketika ini.

“Pada mulanya, niat berkongsi gambar di pusara mama (ibu), ayah cuma sekadar suka-suka sebab dari dulu lagi, saya akan bergambar di pusara mereka sempena hari istimewa seperti hari lahir mereka, sambutan hari ibu bapa dan dalam foto itu sempena konvokesyen saya dua tahun lalu.

“Niat berkongsi gambar itu bukan ingin menagih simpati sesiapa. Kalau tagih simpati, mesti gambar sedih, kan? Niat saya cuma ingin kawan-kawan di luar tahu, tanpa kedua ibu bapa pun, kita boleh belajar dan tamatkan pengajian.

“Sebab itu gambar saya di pusara mereka semuanya senyum. Tidak ada yang bermuram. Yalah, gambar keluarga, kan? Takkan kita nak sedih pula,” katanya.

CIAPAN Adilla mencuri perhatian warganet. FOTO Adilla Kamaruzzaman

Adillah yang juga anak tunggal, kematian ibu akibat kemalangan jalan raya ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke sebuah pesta ketika usianya empat tahun pada Ogos 2000.

Manakala, ayahnya pula meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air pada tahun 2006 ketika usianya baru 10 tahun.

Menurut pemegang diploma Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara kampus Lendu, dia mendapat banyak reaksi positif daripada rakan dan warganet yang berbangga, selain tumpang gembira kerana dia berjaya tamat belajar, namun mampu terus hidup macam biasa.

“Kurangnya, cuma tanpa mama dan ayah. Ada yang nak hulurkan bantuan tapi saya menolak cara baik sebab saya sudah bekerja dan mampu berdikari sendiri.

“Rasa tak manis pula menerima pemberian orang yang fikir saya masih hidup susah,” katanya pernah tinggal di sebuah rumah anak yatim di Ampangan, Seremban selama lapan tahun.

Adillah berkata, pada masa ini dia bekerja sebagai pentadbir sebuah syarikat swasta, selain menyewa sendirian di sini.

“Alhamdulillah, selepas tamat belajar tahun 2017, saya dapat tawaran kerja dan rezeki dari Allah tak pernah putus, semuanya mencukupi,” katanya.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts