by Oh! Semput
SUDAH tiba masanya kerajaan mengambil perhatian serius mengenai mudahnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini mendapatkan dana asing yang dipercayai bertujuan menggugat demokrasi di Malaysia.
Persoalannya, kenapa begitu mudah NGO terbabit mendapatkan dana asing?
Tidakkah ada pemantauan daripada pihak berkuasa di negara ini?
Selepas BERSIH yang mengaku menerima dana asing daripada penyangak mata wang, George Soros untuk membiayai kegiatan mereka, baru-baru ini, 20 NGO lagi dikenal pasti turut menerima dana asing.
Pada 16 Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendedahkan polis mengenal pasti kira-kira 20 NGO di negara ini menerima dana yang meragui daripada individu serta organisasi luar negara.
Susulan daripada pendedahan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mengambil keterangan 15 daripada 20 NGO yang dipercayai terlibat dalam perkara tersebut.

WikiLeaks pada Oktober lalu mendedahkan pelbagai penglibatan dan campur tangan Soros dalam negara ini, antaranya cubaan melobi kepemimpinan Amerika Syarikat (AS) bagi menjauhkan diri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain berusaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 2013, Anwar sendiri didakwa menerima dana daripada kuasa asing untuk perhimpunan Blackout 505 dan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Apakah tujuannya? Apa yang pasti bukan untuk kebaikan tetapi mereka ‘dibayar’ dipercayai bagi mengganggu gugat keharmonian dan keamanan negara.
Jadi, adakah pihak berkuasa di negara ini perlu terus membiarkan perkara ini semakin berleluasa?
Malaysia sepatutnya mengambil iktibar peristiwa yang meletus di beberapa negara luar setelah sekian lama diresapi elemen asing menerusi dana kepada sebahagian NGOnya.
Agenda campur tangan asing ini bukan dongengan sebaliknya kesan modus operandi ini dapat dilihat pada kehancuran di Syria, Mesir, Libya, dan negara-negara Arab yang lain.
Kebanyakkan negara-negara ini masih dalam keadaan huru-hara dan rakyat mereka menjadi pelarian di bumi sendiri.
Adakah Malaysia mahu kesan sedemikian turut berlaku di negara ini?
Tanpa sebarang pantauan, mana-mana pihak asing berupaya campur tangan dalam urusan politik negara dengan cara membiayai sebarang aktiviti yang dijalankan oleh NGO tertentu.
Apakah tujuannya? Tujuannya untuk mengapi-apikan rakyat demi bangkit menggulingkan kerajaan sedia ada yang telah dipilih melalui sistem demokrasi.
Apakah risikonya? Risiko penerimaan dana asing ini bukan hanya terbatas kepada kekacauan politik semata-mata.
Tetapi ia boleh membahayakan keamanan dan kedamaian masyarakat pelbagai kaum di negara tercinta ini.
Jika tiada langkah drastik dan ke hadapan diambil, lebih banyak NGO malah individu tertentu dijangka akan menerima dana asing secara licik.
Matlamatnya hanya satu iaitu bagi menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi.
Sebagai rakyat negara ini, bukankah kita mempunyai tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia?
Apakah kita akan ‘membantu’ penjajahan alaf baharu ke atas negara kita? Fikir dan renungkan bersama.
Jangan sampai nasi menjadi bubur, keamanan yang dikecapi selama ini hilang kerana kerakusan wang ringgit, pada saat itu semuanya sudah terlambat dan negara tercinta ini pastinya bukan menjadi milik kita lagi.
Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.