Kenapa bila jumpa emas belakang rumah jadi milik kerajaan? tapi sebaliknya terjadi bila jumpa dadah

by Oh! Semput


6
SHARES
83
VIEWS
Posted on 02 Apr 2024 11:31:46

Bila tulisan saya berkenaan isu mineral emas yang dijumpai di dalam tanah milik persendirian di Kuala Lipis viral dan keluar dalam page seperti

Siakap Keli ini, kebiasaannya, majoriti komen yang diterima adalah bersifat negatif, menyindir, memperli, sarkastik, caci maki dan yang seangkatan dengannya.

Persoalan yang dibangkitkan oleh nitizen pun nampak macam hebat bagi mereka yang tak tahu apa-apa, tetapi begitu dangkal sekali bagi mereka yang tahu dan ada ilmu.

Kenapa bila jumpa emas belakang rumah jadi milik kerajaan? tapi sebaliknya terjadi bila jumpa dadah

Antara komen berbentuk sindiran yang agak dangkal yang dibangkitkan adalah:

1. “Kalau jumpa emas dalam tanah kita, ia jadi milik kerajaan, tapi kalau jumpa pokok ganja atas tanah kita, itu milik tuan tanah”

Kalau ikutkan saya malas nak layan persoalan dangkal sebegini. Tapi disebabkan komen itu dah jadi macam berjangkit bila mana ia disebarkan oleh

mereka yang tiada ilmu, maka saya fikir menjadi tanggungjawab saya untuk membetulkan kekhilafan tersebut dan memberi pencerahan terhadap persoalan yang dibangkitkan.

Pertamanya, perbandingan yang diberikan antara emas dan pokok ganja adalah amat tidak kena sekali.

Apabila kita ingin membuat sesuatu perbandingan antara 2 perkara, perkara itu mestilah dalam kategori subject matter yang sama.

Membandingkan emas dengan pokok ganja adalah perbandingan yang amat tidak kena.

Ini kerana emas adalah sejenis bahan mineral manakala pokok ganja adalah sejenis tanaman/ tumbuhan yang dikategorikan sebagai dadah merbahaya di bawah Akta Kawalan Dadah Merbahaya.

Kewujudan emas di dalam tanah kita bukanlah daripada perancangan atau usaha kita sendiri. Sedangkan tanaman pokok ganja yang tumbuh di atas tanah

kita secara tersuratnya adalah dianggap ditanam oleh kita sendiri atau oleh seseorang yang kita ketahui. Kalau pun bukan kita yang menanamnya,

ianya adalah dalam kawalan atau pengetahuan kita. Dan kita sendiri tahu bahawa tumbuhan tersebut adalah dikategorikan sebagai dadah merbahaya.

Disamping itu, peruntukan dalam Kanun Tanah Negara sendiri jelas menyatakan bahawa semua bahan mineral yang ditemui di bawah tanah adalah milik kerajaan. (Sila rujuk gambar).

Peruntukan tersebut bukannya baru semalam digubal oleh parlimen tetapi telah wujud dan dikuatkuasakan sejak 1 Januari 1966 lagi.

Bahkan sebelum sebelum ini pun rasanya kebanyakan orang dah tahu bahawa semua bahan mineral yang ditemui dalam sesuatu tanah termasuklah tanah milik persendirian adalah menjadi milik kerajaan.

Cuma mungkin ada segelintir yang tidak sedar dan buat tak cara, atau mungkin buat buat tak tahu tentang peruntukan undang-undang tersebut.

Tujuan peruntukan undang-undang sedemikian digubal adalah supaya kerajaan dapat memantau dan membuat suatu peraturan yang teratur terhadap urusan perlombongan bahan mineral tersebut.

Bayangkan kalau tiada peruntukan sedemikian dalam undang-undang, semua orang akan sewenang-wenang nya melombong bahan mineral tersebut sesuka hati

sehingga boleh menjejaskan struktur tanah, menjejaskan pencemaran alam sekitar dan menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

Ia juga berkait rapat dengan soal keselamatan kepada tuan tanah dan juga orang awam.

Ini kerana tuan tanah mungkin tidak mahir dalam urusan perlombongan tersebut atau sekadar ikut ikut sahaja orang lain melakukannya.

Jadi apabila proses perlombongan itu dikawal oleh pihak berkuasa , maka pihak-pihak yang layak termasuklah tuan tanah sendiri boleh memohon lesen dan permit untuk melombong bahan mineral tersebut dengan sedikit bayaran royalti kepada kerajaan negeri.

Secara tak lansung kerajaan negeri juga akan dapat hasil daripadanya yang mana ia juga merupakan sebagai salah satu sumber pendapatan kepada kerajaan negeri yang kemudiannya akan digunakan untuk pembangunan negeri dan bagi tujuan manfaat kepada rakyat.

Bagi tuan tanah pula, sebagaimana yang saya nyatakan, mereka boleh memohon lesen dan permit untuk melombong bahan mineral tersebut secara sah dengan kerajaan negeri.

Atau jika mereka tidak mempunyai kepakaran, boleh bekerjasama (JV) dengan pengusaha yang mendapat lesen dan permit melombong yang sah daripada kerajaan negeri. Secara tak lansung sebagai tuan tanah, mereka juga akan dapat hasil dan manfaat daripadanya.

Adapun isu pokok ganja yang tumbuh atas tanah milik persendirian, secara umumnya undang-undang membuat inferens (anggapan) bahawa tuan tanah tahu tentang kewujudan pokok dadah tersebut melainkan dapat dibuktikan sebaliknya.

Maka sudah pastilah tuan tanah perlu bertanggungjawab bila didapati wujudnya pokok dadah tersebut di atas tanah miliknya kerana ia melibatkan satu kesalahan Undang-undang yang serius dan merbahaya.

2. Perbandingan kedua yang dibangkitkan oleh nitizen adalah antara tanah milik persendirian yang terdapat emas dengan tanah kerajaan yang ditanam musang king oleh pekebun di Raub.

Mereka menyatakan kenapa dalam kes tanah yang dijumpai emas di Lipis ini kerajaan negeri cepat ambil tindakan sedangkan dalam kes tanah musang king di Raub kerajaan negeri berdiam diri.

Jika kita ingin membandingkan dua kes, kita kena faham fakta kes dalam kedua dua kes tersebut dan tahu apakah status terkini kes-kes tersebut.

Tanah yang terdapat emas di Lipis ini kerajaan dilihat cepat bertindak kerana sebagaimana yang saya nyatakan di atas tadi, iaitu untuk mengawal keadaan supaya urusan perlombongan tersebut dapat dijalankan dengan sistematik dan mengikut undang-undang.

Adapun dalam kes tanah musang king di Raub, berdasarkan maklumat yang saya terima, kerajaan negeri juga telah mengeluarkan notis pengosongan kepada pekebun ladang yang terbabit, namun satu permohonan semakan Undang-undang telah difailkan ke mahkamah oleh pekebun dusun tersebut.

Justeru itu, semua pihak perlu mematuhi dan menghormati proses perundangan yang dijalankan di mahkamah. Ini kerana mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan fakta yang sebenar dan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Namun begitu pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuantan telah menolak permohonan pekebun durian Musang King tersebut untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang. Dan tindakan penguatkuasaan pun telah diambil oleh pihak berkuasa negeri baru-baru ini.

Jadi tidak timbul isu double standard dari penguatkuasaan undang-undang terhadap sesuatu kaum atau bangsa sebagaimana yang digembar gemburkan oleh nitizen.

Jadi secara kesimpulannya, perbandingan yang diberikan oleh nitizen di atas adalah tidak kena dan tidak tepat sama sekali.

Nasihat saya, jika kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara adalah lebih baik kita bertanya kepada pihak yang tahu atau tidak memberi sebarang komen mengenainya atau menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak tepat.

Sebaiknya, rujuk lah dulu sumber-sumber yang tepat supaya kita dilihat sebagai orang yang berilmu bukannya beremosi semata-mata.

Wallahuaklam.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR

BACA: “Jiran sebelah tak pernah tegur aku tapi dengan suami aku bukan main peramah lagi siap suruh anak aku panggil dia mama lagi, rupanya ada niat nak sondol laki aku”

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts