Kerajaan tak campur tangan keputusan beli Battersea, kata KWSP

by Oh! Semput


4
SHARES
52
VIEWS
Posted on 19 Jan 2018 16:01:40

KEPUTUSAN membabitkan rancangan pembelian aset komersial dalam pembangunan Fasa 2 Battersea Power Station adalan dibuat secara bebas tanpa membabitkan sebarang campur tangan kerajaan.

Menurut kenyataan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini, keputusan bagi meninjau potensi penyusunan semula pemilikan itu merupakan satu pertimbangan pelaburan semata-mata yang dimulakan oleh pihak Lembaga Pengarah dan pengurusan BPS (Battersea Power Station) beserta kedua-dua dana itu tanpa campur tangan daripada pihak kerajaan.

“(Pihak) KWSP dan PNB mengesahkan telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoT) dengan Battersea Phase 2 Holding Co Ltd untuk memulakan rundingan awal bagi pembelian aset-aset komersial dalam Fasa 2 dengan jumlah dipertimbangkan kira-kira £1.61 bilion (RM8.76 bilion).

“Bagaimanapun, HoT itu adalah perjanjian yang tidak terikat dan terma itu tertakluk kepada rundingan dan usaha wajar selanjutnya," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, KWSP adalah sebahagian daripada konsortium pemaju merangkumi SP Setia dan Sime Darby Property dalam pembangunan Battersea Power Station yang bermula pada 2012 dengan keseluruhan meliputi Fasa 1 hingga Fasa 7.

KWSP memiliki 20% dalam pembangunan Battersea Power Station dan langkah penyusunan semula itu tidak akan melibatkan pegangan saham KWSP dalam kemajuan keseluruhan projek itu.

PNB pula memegang pegangan majoriti dalam SP Setia dan Sime Darby Property yang memiliki bersama 80% ekuiti dalam pembangunan Battersea Power Station.

Fasa 1 projek itu yang kebanyakannya terdiri daripada unit kediaman, telah pun siap dengan 100% kadar pembelian dan berjaya diserahkan kepada pembeli kediaman dalam suku akhir 2017 manakala komponen kediaman Fasa 2 hampir 100% dibeli. 

Pelaburan modal awal dalam projek itu oleh konsortium pemaju juga telah dilabur semula untuk membangunkan fasa-fasa seterusnya. 

Menurut kenyataan itu, KWSP dan PNB kini menimbang untuk membeli pemilikan dalam Fasa 2 projek tersebut yang dikenali sebagai bangunan The Power Station – merupakan projek utama dengan kebanyakannya terdiri daripada ruang runcit dan pejabat.

“KWSP dan PNB melihat ini sebagai peluang strategik untuk mendapatkan pemilikan aset hartanah unik dan ikonik di bandar raya global, yang bakal menyediakan arus pendapatan kukuh pada masa depan bagi memenuhi keperluan pendapatan mereka masing-masing,” kata kenyataan itu. 

Fasa 2 projek tersebut dijangka selesai pada lewat 2020 dan juga telah disewakan lebih awal kepada penyewa utama seperti Apple, satu daripada syarikat teknologi utama dunia bagi kawasan sewaan seluas 500,000 kaki persegi.

“Ini petanda yang baik untuk pelabur berpotensi, memandangkan ia dilihat sebagai pendahulu kepada masa depan pembangunan Battersea Power Station,” kata kenyataan itu.

Harga belian, yang masih tertakluk kepada usaha wajar selanjutnya, telah disusun  berdasarkan asas disiapkan dan disewakan untuk memberi hasil  jangka panjang yang menarik kepada pelabur.

“Seiring dengan program kepelbagaiannya sejak beberapa tahun ini, KWSP giat meningkatkan asethartanah dan infrastruktur di peringkat domestik dan luar negara untuk meraih pendapatan mampan jangka panjang bagi manfaat anggotanya,” kata kenyataan itu.

Transaksi yang dicadangkan itu juga seiring dengan Pelan STRIVE-15 Strategik PNB yang menekankan strategi jangka panjang pempelbagaian portfolio dan pengembangan bijak ke dalam aset global.

“KWSP dan PNB komited dan berpegang teguh untuk mendukung kepercayaan anggota dan pemegang unit kedua-dua institusi ini serta rakyat Malaysia dan sebarang kesimpulan yang merujuk keputusan pelaburan itu dibuat atas sebarang alasan selain daripada manfaat rakyat, adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat,” kata kenyataan itu. – Bernama, 19 Januari, 2018. 

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts