by Oh! Semput
Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan inisiatif Rakyat Digital yang memberikan beberapa kursus secara atas-talian untuk memudahkan orang ramai mempelajari dan mengikuti kursus melibatkan teknologi dan digital, terutamanya kecerdasan buatan secara percuma. Tidak setakat itu, dalam mengalakkan pengguna mengikuti kursus berkenaan, kerajaan turut mengumumkan akses 3 bulan percuma kepada perkhidmatan kecerdasan buatan berbayar.
Melalui penyenaraian kepada perkhidmatan yang boleh ditebus dibawah program ini, kini Rakyat Digital memperlihatkan antara perkhidmatan yang boleh ditebus adalah Gemini oleh Google, ILMUchat oleh YTL AI Labs, MuleRun oleh Alibaba Cloud dan juga WonderClip oleh Alibaba Cloud. Sementara tiga terawal membantu dalam melakukan kajian, pembelajaran dan sebagainya, perkhidmatan WonderClip pula lebih mengkhususkan kepada penjanaan video melaluinya.


Untuk menebus langganan percuma tiga bulan untuk perkhidmatan ini, pengguna terlebih dahulu perlu menyelesaikan 6 kursus yang ditawarkan melalui Rakyat Digital. Sebaik sahaja selesai melakukan pembelajaran kursus berkenaan, pengguna seterusnya boleh melakukan penebusan untuk perkhidmatan kecerdasan buatan berkenaan. Untuk makluman, pemberian akses percuma selama 3 bulan ini terhad kepada mereka berumur 18 tahun ke 30 tahun, sementara kursus berkenaan boleh diikuti oleh sesiapa secara percuma.