Kerajaan Pahang Akan Membantu Dua Beradik Hilang Lima Ahli Keluarga Dalam Kebakaran Di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub

by Oh! Semput


8
SHARES
105
VIEWS
Posted on 27 Feb 2026 23:32:03


KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memberi bantuan sewajarnya kepada dua beradik yang terselamat dalam kebakaran yang meragut nyawa lima ahli keluarganya di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga akan melihat kebajikan yang diperlukan dua beradik berkenaan.

“Dua beradik ini masih lagi belajar dan kerajaan negeri akan melihat kebajikan mereka dan akan bantu memberi bantuan,” katanya.

Dalam kejadian semalam, lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran itu iaitu suami isteri, Mohd Alawi Mohammad, 56 dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 serta tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9.

Namun, dua beradik iaitu Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19 dan Ahmad Balia Murqam, 15, terselamat masing-masing di asrama di Kolej Matrikulasi Gambang, di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau sudah bertemu kedua-dua beradik itu semalam, untuk mengetahui keperluan mereka terutama dalam soal tempat tinggal.

“Bagaimanapun, mereka memilih untuk tinggal bersama saudara. Saya juga bersedia membantu daripada segi persekolahan dan pendidikan mereka.

“Saya terharu apabila pelbagai pihak termasuk individu tampil menyatakan kesediaan membantu dua beradik ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang. #BuletinTV3

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts