Kerajaan Persekutuan Sentiasa Meningkatkan Peruntukan Kepada Negeri Pahang Setiap Tahun, Beri Perhatian Terhadap Projek Jadi Keutamaan

by Oh! Semput


2
SHARES
22
VIEWS
Posted on 06 Jun 2026 16:32:08

KELANA JAYA: Kerajaan Persekutuan sentiasa meningkatkan peruntukan kepada negeri-negeri termasuk Pahang setiap tahun selain memberi perhatian terhadap projek yang menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara itu telah dijelaskan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan mereka minggu lalu.

Menurutnya, kerajaan turut komited membangunkan Pahang menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan yang disalurkan secara terus kepada rakyat.

"Saya sudah berjumpa Sultan Pahang minggu lalu dan kita memberi penerangan mengenai peruntukan disediakan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

"Peruntukan yang disediakan setiap tahun kepada negeri-negeri meningkat dan projek-projek yang diberi keutamaan oleh negeri juga mendapat perhatian serta peruntukan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15.

Terdahulu, Amir Hamzah melakukan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Kelana Jaya di sini pada Sabtu.

Amir Hamzah berkata, kerajaan sentiasa bersedia menambah baik proses penyampaian bantuan dan pembangunan sekiranya terdapat ruang untuk penambahbaikan.

Katanya, komitmen kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri Pahang kekal kukuh dan dapat dilihat menerusi peningkatan peruntukan dari semasa ke semasa.

"Penyaluran bantuan bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga secara terus kepada rakyat melalui pelbagai skim seperti SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dan program bantuan lain," jelas beliau.

Beliau berkata, pembangunan Pantai Timur turut diberi perhatian menerusi projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

Menurutnya, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan baharu dan membangunkan zon perindustrian di Pantai Timur bagi memanfaatkan infrastruktur yang sedang dibangunkan.

"Kita mahu memastikan infrastruktur yang dibina dapat dimanfaatkan sepenuhnya, selain menambah baik kemudahan sokongan supaya lebih menarik kepada pelabur.

"Penekanan kita adalah menyediakan peruntukan untuk membina masa depan negeri dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih besar," tambah beliau. #sinarharian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts