KASA: Kerja Kecemasan Banjir Janda Baik RM1 Juta, Di Jangka Siap Dalam Tempoh Tiga Bulan

by Oh! Semput


2
SHARES
25
VIEWS
Posted on 14 May 2022 00:30:24

 

KUANTAN - Kerja kecemasan bencana banjir tambahan di Janda Baik, Bentong dengan anggaran kos RM1 juta, dijangka bermula minggu depan dan siap dalam tempoh tiga bulan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir. Zaini Ujang.

Beliau yang melawat kawasan terjejas itu hari ini berkata, pihaknya mendapati banjir kilat itu disebabkan hujan lebat di hulu lembangan sungai dan keadaan sungai yang cetek sekitar Janda Baik, ekoran kesan banjir besar pada Disember 2021.

“Keadaan sungai yang cetek telah mengakibatkan limpahan air Sungai Benus, Sungai Cheringin dan Sungai Chemperoh melebihi paras tebing, selain perkampungan di kawasan rendah dan berhampiran sungai, juga menjadi sebab premis kediaman dan peranginan mudah dinaiki air,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada kejadian Rabu lalu, lima kampung di kawasan itu iaitu Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh, Kampung Lampin dan Kampung Pulau Santap, telah dilanda banjir kilat dengan purata antara 0.5m hingga 1m, ekoran hujan lebat luar biasa dengan kelebatan 88mm selama tiga jam bermula 4 pagi.

Zaini berkata, ekoran banjir pada tahun lepas, Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga telah mengarahkan JPS, untuk menyegerakan pelaksanaan kerja membersih dan mendalamkan sungai di situ, yang telah bermula sejak Mac lepas.

Satu daripada projek itu telah siap dilaksanakan manakala dua lagi dijadualkan siap pada Jun ini.

“JPS juga merancang untuk membina tembok penahan banjir (ban) pada lokasi yang telah dikenal pasti sepanjang sungai terlibat serta stesen telemetri dan stesen amaran banjir di huluan Janda Baik,” katanya.

Untuk perancangan jangka panjang, Zaini berkata Kasa menerusi JPS sedang menyegerakan projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Bentong dan pelan induk saliran mesra alam (Pisma), yang dijangka dilaksanakan pada 2023 dengan jangkaan memerlukan peruntukan lebih RM400 juta. #sumber

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Search
Popular Posts