Ketabahan Rasulullah beri semangat pendakwah Orang Asli

by Oh! Semput


HOME Posted on 09 Nov 2019 20:01:31



IPOH: Ketabahan Rasulullah SAW ketika berdakwah menjadi sumber kekuatan dan pedoman kepada Arifin Long Chor hingga berjaya menarik lebih 200 keluarga daripada empat perkampungan Orang Asli di Sungai Siput memeluk Islam.

Arifin, 43, yang memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu, mengakui bukan mudah mengembangkan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli kerana mereka membandingkannya dengan agama lain dan merasakan ajarannya susah.

“Jika disebut dipulau atau dihina, itu perkara biasa. Namun, cabaran Rasulullah dan sahabat Baginda dahulu lebih besar, jadi saya anggap itu sebagai cabaran dalam berdakwah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Pendakwah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak Tahun 2019/1441 Hijrah di sini, hari ini.

Arifin daripada suku kaum Temiar membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Arifin berkata, berkat usaha dan kesabaran berdakwah hampir 80 peratus daripada kira-kira 600 penduduk di Kampung Gentes, Kampung Piah, Kampung Teras dan Kampung Tembok memeluk Islam.

“Pelbagai agama sudah kami masuk dan rasai sebelum ini yang akhirnya kami memeluk agama Islam,” katanya yang sudah menerima pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sejak 2000.

Bapa kepada lapan anak itu bersyukur menerima anugerah itu dan akan terus berusaha berdakwah dan mengembangkan Islam agar keseluruhan penduduk Orang Asli di kampungnya memeluk Islam dan menjadi rujukan sepanjang hayat.

Pada majlis sama, Anugerah Keluarga Mithali diberikan kepada Ahmad Shahabuddin Abd Rashid yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Selain itu, Anugerah Bilal kepada Abdul Mutalib Said; Anugerah Imam (Mohamed Amran Ngah Abd Ghani) dan Anugerah Siak (Zainal Ibrahim) dengan masing-masing membawa hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Turut berangkat hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta barisan EXCO kerajaan negeri.

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...