Ketua Pengarah Perikanan: Ikan Ditemukan Di Empangan Klau Konsisten Ciri-Ciri 'Morfologi Genus Pygocentrus', Kumpulan Ikan Piranha

by Oh! Semput


3
SHARES
40
VIEWS
Posted on 18 Sep 2026 06:30:45

KUALA LUMPUR: Gambar dan rakaman video ikan didakwa sebagai piranha perut merah (Pygocentrus nattereri) yang ditemukan di Empangan Klau, Raub, Pahang, baru-baru ini, adalah konsisten dengan ciri-ciri 'morfologi genus Pygocentrus', iaitu kumpulan ikan piranha.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain pada kenyataan berkata, dapatan itu diperoleh hasil daripada penilaian teknikal oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan.

Katanya, bagaimanapun, pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut selepas ikan itu dilaporkan mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan.

"Setakat ini, hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan terbabit. Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September lalu juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti yang menunjukkan kewujudan populasi piranha yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.

"Orang awam tidak perlu panik, namun jabatan akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Ini kerana, ia boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.

Beliau turut menasihati orang awam supaya tidak melepaskan semula ke dalam air mana-mana ikan yang disyaki sebagai spesies asing sekiranya ditangkap.

"Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air.

"Simpan spesimen itu jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Perikanan Pahang menyiasat dakwaan seorang pemancing yang dilaporkan mendaratkan ikan piranha perut merah atau nama saintifiknya, Pygocentrus nattereri di Empangan Klau, Raub sehingga mengundang kebimbangan orang ramai.

Susulan itu, rakaman video dan gambar ikan diserahkan kepada IPP bagi pengesahan identiti spesies terbabit.

Sebuah kumpulan pemantau hidupan air tawar tempatan turut menyuarakan kebimbangan mengenai kehadiran spesies ikan piranha perut merah di empangan berkenaan sebelum ini. #HarianMetro

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts