MSL 2019: Ketumpulan PJ City Bantu Perak Raih 3 Mata Di Petaling Jaya

by Oh! Semput


HOME Posted on 15 Jun 2019 04:04:45


Perak meneruskan rentetan 8 perlawanan tanpa kalah di laman lawan selepas berjaya menundukkan PJ City FC dalam saingan minggu ke-16, Liga Super Malaysia (MSL) 2019, sebentar tadi.

Hadir ke Stadium MBPJ tanpa kelibat Leandro di jentera tengah, rentak Perak dilihat sedikit terjejas namun berjaya merekodkan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan penyerang import, Ronaldo.

Biarpun tampil cemerlang bersama skuad kebangsaan dengan 4 gol peribadi dalam dua perlawanan, masih tiada tempat dalam kesebelasan utama Mehmed Durakovic buat Shahrel Fikri.

Pelawat dilihat lebih bertahan berbanding menguasai perlawanan dengan PJ City tampak menguasai dengan baik bahagian tengah. Yang membezakan kedua-dua pasukan adalah hantaran akhir dan juga sentuhan penyudah jentera serangan masing-masing.

Selain itu, berbanding Muhaimin Mohamad, penjaga gol Perak, Hafizul Hakim juga tampak langsung tidak diuji dengan percubaan-percubaan bahaya oleh barisan penyerang lawan.

Minit ke-19, Ronaldo Henrique akhirnya berjaya menjaringkan gol pembukaan perlawanan selepas menerima lorongan cantik Carecca yang melepasi 2 pertahanan PJ City. Penyudah kaki kanan yang kemas untuk gol ke-4 peribadinya selepas menyertai Perak.

Ronaldo, Perak, PJ City

FOTO: Perak TBG

Tempo perlawanan tampak masih perlahan selepas gol pertama tersebut dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar serangan. Benteng PJ City tampil tenang menahan siri asakan jentera serangan pelawat yang digerakkan oleh Brendan Gan.

Ketiadaan Leandro di bahagian tengah The Bos Gaurus tampak sedikit mengganggu rentak mereka apabila Brendan Gan yang sepatutnya berada di posisi lebih menyerang terpaksa turun memberikan pelindungan tambahan buat benteng Perak.

Begitupun, kelebihan Perak adalah jentera serangan yang lebih efektif berbanding PJ City yang kerap kali gagal memanfaatkan ruang yang dimiliki. Pedro Henrique dan Washington pula dilihat telah dirantai kemas oleh benteng pertahanan pelawat.

3 minit sebelum babak pertama tamat, gerakan solo cantik oleh Carecca di sebelah kiri gol tuan rumah hampir memberikan gol kedua buat Perak namun penjaga gawang, Muhaimin Mohamad tampil cemerlang menafikan percubaan deras tersebut.

Tuan rumah memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan di penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma berhampiran gol namun gagal dimanfaatkan.

Terdesak memburu gol, perubahan formasi dibuat oleh pengendali PJ City, K. Devan di minit ke-54 apabila pemain tengah, K. Satish dikeluarkan dengan penyerang berpengalaman, Safee Sali pula dimasukkan untuk menambah pilihan di jentera serangan.

Carecca, Perak, PJ City

FOTO: Perak TBG

Hasilnya, PJ City hampir memperolehi gol penyamaan di minit ke-60 apabila rembatan deras Safee Sali selepas menerima hantaran Washington telah menewaskan Hafizul Hakim namun berjaya dikeluarkan Amirul Azhan yang berada di atas garisan gol.

The Phoenix meneruskan serangan ke kubu pertahanan Perak dan 3 minit kemudian, rembatan kaki kanan Washington hanya mampu menggegar tiang gol pelawat. Tetapi, semuanya terganggu apabila kapten, S. Subramaniam dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Biarpun memiliki kelebihan seorang pemain, Perak masih gemar membiarkan PJ City menguasai perlawanan sambil menunggu peluang untuk mengasak lawan menerusi serangan pantas.

Dan, Ronaldo hampir menambah gol buat dirinya di minit ke-75 namun percubaannya dari sisi kiri gol tuan rumah tersasar. Sejurus itu, tiada lagi percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Bola dilihat lebih banyak berlegar di bahagian tengah padang.

Seminit sebelum aksi ditamatkan, sekali lagi PJ City tumpul di depan gawang apabila gagal memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan R. Barathkumar.

Kemenangan ke atas PJ City ini adalah yang kedua di laman lawan dan membolehkan Perak mengumpul 21 mata, memintas PKNS FC serta Terengganu FC untuk berada di kedudukan ke-6 liga. Esok, Terengganu FC akan turun menentang Melaka United.

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...