by Oh! Semput
Pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjadi antara fokus utama di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 dengan menampilkan pelbagai inisiatif dan keupayaan industri pertahanan negara.

MINDEF berkata, pavilion itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

Menurut MINDEF, pavilion tersebut turut menjadi platform untuk mempromosikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 melalui inisiatif Road to LIMA 2027.

Tambahnya, Road to LIMA 2027 menjadi langkah strategik dalam membina momentum menuju pameran maritim dan aeroangkasa bertaraf global itu yang berfungsi sebagai platform interaksi antara delegasi antarabangsa, pemain industri dan komuniti pertahanan di DSA & NATSEC Asia 2026, sekali gus merangsang penglibatan awal, kerjasama serta penyertaan, di samping menyampaikan perkembangan terkini LIMA 2027.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Timbalan Menteri Pertahanan; Adly Zahari, Ketua Setiausaha MINDEF; Datuk Lokman Hakim Ali, panglima-panglima perkhidmatan, pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera.