10 Khasiat Buah Manggis yang Anda Perlu Tahu

by Oh! Semput


9
SHARES
122
VIEWS
Posted on 06 Dec 2022 18:00:19

Apakah khasiat Buah manggis kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat manggis, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya

Pengenalan

Semua pasti kenal akan buah manggis bukan? Tak perlu dijelaskan lagi buah manggis merupakan antara buah yang dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia. Buah tempatan ini mempunyai bentuk yang bulat, kulit berwarna ungu dan tebal. Isinya pula berwarna putih, bertekstur lembut dan mempunyai rasa masam-masam manis.

Buah manggis merupakan sejenis buah yang bermusim dan hanya berbunga pada masanya sahaja. Buah ini boleh dimakan begitu sahaja dan telah digunakan secara meluas di dalam industri pembuatan makanan Malaysia. Selain itu, ianya turut digunakan di dalam industri kosmetik sebagai alat penjagaan muka dan badan. Namun begitu tahukah anda akan kebaikkan buah manggis terhadap kesihatan? Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikkan buah manggis terhadap kesihatan.

Kandungan Nutrisi dan Komponen Penting

Berikut merupakan kandungan nutrisi yang terdapat di dalam 5 biji manggis (83 g) yang bersaiz kecil.

Komponen Kandungan 
Tenaga, kcal28 kcal
Karbohidrat, g4.65 g
Serat, g4.2 g
Protein, g0.5 g
Lemak, g0.83 g

Berdasarkan jadual di atas, setiap 5 biji manggis bersaiz kecil dapat membekalkan sebanyak 28 kcal tenaga. Ianya juga mempunyai sebanyak 4.65 g karbohidrat dan 4.2 g serat. Kandungan protein dan lemaknya pula rendah iaitu sebanyak 0.5 g dan 0.83 g. Antara komponen bermanfaat lain yang terdapat di dalam buah manggis adalah vitamin C dan vitamin B. ianya turut mengandungi magnesium dan komponen mangan yang diperlukan oleh tubuh badan. Kajian turut mendapati bahawa komponen bernama Xanthone merupakan komponen aktif yang bermanfaat yang boleh didapati dalam buah manggis. 

Khasiat Manggis pada Kesihatan

1. Bersifat anti kanser

Terdapat beberapa jenis kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pemberian manggis yang mengandungi Xanthone ke atas sel aktiviti sel kanser. Kajian-kajian ini telah mendapati bahawa Xanthone membantu untuk melawan sel kanser di dalam kajian tersebut. Antara penemuan yang didapati adalah komponen ini mampu membantu untuk mengecilkan sel kanser, mengurangkan bilangan salur darah di dalam tumor dan mengurangkan berat tumor.

2. Anti radang

Buah manggis juga mempunyai sifat anti radang kerana kandungan antioksida dan komponen aktif seperti vitamin C yang terdapat di dalamnya. Tekanan oksidatif adalah apabila sel badan terdedah dengan radikal bebas lalu menjadikan sel tersebut rosak. Hal ini dapat menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kerana berlakunya kerosakkan sel badan dan radang. 

3. Menjaga kesihatan mulut

Bagaimana buah manggis dapat menjaga kesihatan mulut? Hal ini kerana buah ini mempunyai sifat antibakteria yang dapat membunuh kuman di dalam mulut. Satu kajian telah dijalankan di mana satu semburan mulut yang mengandungi ekstrak buah manggis telah dihasilkan. Kajian ini mendapati bahawa semburan mulut ini berhasil untuk membunuh patogen yang dapat menyebabkan masalah jangkitan kuman pada mulut.

4. Bersifat anti diabetes

Diabetes merupakan salah satu penyakit yang disebabkan oleh kekurangan insulin di dalam badan ataupun juga disebabkan oleh insulin yang kurang sensitif. Hal ini menyebabkan paras gula di dalam darah tinggi dan gula tidak dapat ditukarkan kepada tenaga dengan baik. Kandungan komponen xanthone di dalam buah manggis dapat membantu di dalam pengawalan gula di dalam darah. Selain itu, buah manggis turut mengandungi serat yang dapat membantu untuk melambatkan kenaikkan gula di dalam darah.

5. Meningkatkan sistem imuniti.

Sistem imuniti yang lemah akan mudah menyebabkan tubuh badan mendapat pelbagai jenis penyakit seperti demam, selsema dan batuk. Antara cara untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan adalah dengan pengambilan vitamin C. Buah manggis mempunyai kandungan Vitamin C yang dapat membantu untuk meningkatkan imunisasi badan dengan menyokong fungsi sel darah putih yang membantu untuk menyingkirkan patogen dan kuman dari luar.

6. Meningkatkan penyerapan zat besi

Masalah kesihatan yang sering terjadi apabila badan kekurangan zat besi adalah anemia. Anemia adalah satu keadaan di mana badan mengalami kekurangan sel darah merah yang berfungsi untuk mengangkut oksigen keseluruh badan. Hal ini akan menjadikan penghidap anemia berasa cepat penat, lesu dan pucat. Vitamin C di dalam buah manggis dapat membantu penyerapan zat besi lalu menggalakkan penghasilan sel darah merah. 

7. Melindungi hati

Hati merupakan organ yang terpenting di dalam badan manusia kerana ianya menjalankan banyak fungsi penting di dalam tubuh badan manusia. Antara fungsi hati adalah penghasilan jus hempedu, menyingkirkan toksin daripada badan, mengaktifkan enzim, dan pelbagai lagi. Kajian mendapati bahawa buah manggis mempunyai komponen yang dapat melindungi sel hati daripada tekanan oksidatif. 

8. Menjaga kesihatan kulit

Tahukah anda bahawa buah manggis dapat membantu untuk mencerahkan kulit. Kerana inilah buah manggis turut digunakan di dalam penghasilan produk kosmetik penjagaan kulit seperti pencuci wajah dan krim pelembab wajah. Kajian mendapati bahawa terdapat komponen di dalam buah manggis yang dapat menghalang penghasilan hormon yang meransang melanosit dan menggalakan kulit yang lebih cerah.

9. Menjaga kesihatan mata

Mata merupakan antara organ yang memainkan peranan terpenting di dalam kehidupan harian kita. Degenerasi macular berkaitan usia merupakan antara masalah kesihatan yang dapat menyebabkan seseorang itu untuk hilang kebolehan untuk melihat. Kajian telah mendapati bahawa xanthone di dalam buah manggis dapat melambatkan dan mencegah kemunculan penyakit ini.

10. Baik untuk kesihatan sistem penghadaman

Seperti buah-buahan yang lain, buah manggis mengandungi sejenis serat yang baik untuk sistem penghadaman kerana ianya dapat menggalakkan pergerakkan usus ataupun peristalsis lalu mencegah sembelit. Serat juga merupakan makanan kepada bakteria baik di dalam usus. Bakteria baik yang hidup di dalam usus dapat menyokong keseimbangan dan kesihatan usus.

Rujukan:

  1. Fang, Y., Su, T., Qiu, X. et al. Protective effect of alpha-mangostin against oxidative stress induced-retinal cell death. Sci Rep 6, 21018 (2016).
  2. Lee, K. W., Ryu, H. W., Oh, S. S., Park, S., Madhi, H., Yoo, J., … & Kim, K. D. (2017). Depigmentation of α‐melanocyte‐stimulating hormone‐treated melanoma cells by β‐mangostin is mediated by selective autophagy. Experimental Dermatology26(7), 585-591.
  3. Gutierrez-Orozco F, Failla ML. Biological activities and bioavailability of mangosteen xanthones: a critical review of the current evidence. Nutrients. 2013 Aug 13;5(8):3163-83. PMID: 23945675; PMCID: PMC3775248.
  4. Nittayananta, W., Limsuwan, S., Srichana, T., Sae-Wong, C., & Amnuaikit, T. (2018). Oral spray containing plant-derived compounds is effective against common oral pathogens. Archives of Oral Biology90, 80-85.
  5. Wang, A., Li, D., Wang, S., Zhou, F., Li, P., Wang, Y., & Lin, L. (2018). γ-Mangostin, a xanthone from mangosteen, attenuates oxidative injury in liver via NRF2 and SIRT1 induction. Journal of Functional Foods40, 544-553.
  6. Xie Z, Sintara M, Chang T, Ou B. Daily consumption of a mangosteen-based drink improves in vivo antioxidant and anti-inflammatory biomarkers in healthy adults: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Food Sci Nutr. 2015 Jul;3(4):342-8. doi: 10.1002/fsn3.225. Epub 2015 Apr 13. PMID: 26286710; PMCID: PMC4534161.

10 Khasiat Buah Manggis yang Anda Perlu Tahu Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts