10 Khasiat Buah Tembikai Yang Anda Perlu Tahu

by Oh! Semput


13
SHARES
171
VIEWS
Posted on 14 Sep 2021 05:30:59

Apakah khasiat buah tembikai? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah tembikai, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya

Pengenalan

Buah tembikai atau nama saintifiknya Citrullus lanatus adalah sejenis buah yang berasal dari keluarga Cucurbitaceae. Ianya berkulit licin dan tebal berwarna hijau belang dan kekuningan manakala isinya pula berwarna merah atau kuning. Buah tembikai juga mempunyai biji yang banyak berwarna hitam.

Pokok tembikai merupakan sejenis tumbuhan yang menjalar di atas tanah dan turut mempunyai daun yang berlekuk di bahagian tepi. Buah tembikai merupakan antara buah-buahan yang kaya dengan kandungan air dan sering dikenali sebagai buah musim panas kerana rasanya yang menyegarkan dan sesuai untuk menghilangkan dahaga.

Selain dijadikan makanan dan minuman, buah tembikai turut digunakan di dalam penghasilan produk-produk kosmetik seperti produk penjagaan kulit wajah dan penjagaan badan. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikan yang ditawarkan oleh buah tembikai.

Kandungan Nutrisi

Berikut merupakan kandungan nutrisi yang terdapat di dalam 100 g buah tembikai

Tenaga, kcal28
Karbohidrat, g6
Protein, g0.6
Lemak, g0.2
Kalsium, mg6
Zat besi, mg0.2
Forforus, mg11
Kalium, mg78
Natrium, mg4
Vitamin C, mg5.5
Karotin, ug410

Jadual di atas menunjukkan kandungan makronutrisi dan mikronutrisi yang terdapat pada setiap 100 g buah tembikai. Setiap 100 g buah tembikai mengandungi sebanyak 28 kcal manakala bagi kandungan makronutrisi pula, terdapat sebanyak 6 g karbohidrat, 0.6 g protein dan 0.2 g lemak. Tetapi kandungan protein dan lemak di dalam buah-buahan sering diabaikan dan tidak diambil kira kerana nilainya yang tidak signifikan. Bagi kandungan mikronutrisi pula, terdapat sebanyak 6 mg kalsium, 0.2 mg zat besi, 11 mg fosforus, 78 mg kalium, 4 mg natrium dan 5.5 mg vitamin C.

Komponen Berkhasiat dalam Tembikai

Terdapat pelbagai komponen berkhasiat yang boleh didapati di dalam buah tembikai. Antaranya adalah komponen likopena iaitu sejenis karotenoid yang memberi warna merah kepada buah tembikai. Komponen ini juga bersifat antioksida di mana ianya dapat melawan radikal bebas.

Selain itu, tembikai turut menganduni β-karotin di mana ianya adalah sejenis vitamin tidak larut dan memberikan warna jingga kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Seperti likopena, komponen ini turut bersifat antioksida di mana ianya terlibat di dalam menghalang aktiviti spesis oksigen reaktif.

Di samping itu, buah tembikai turut kaya dengan sumber vitamin C di mana kebaikan vitamin C sudah jelas diketahui umum. Antara kebaikannya adalah dapat meningkatkan sistem imunisasi dan mencegah penyakit skurvi. Citrulline juga merupakan antara asid amino bukan protein yang terdapat di dalam buah tembikai. Citrulline ini dikatakan dapat memberikan manfaat kepada otot dan sangat berfungsi untuk atlet.

10 Khasiat Buah Tembikai

1. Menghidrat tubuh badan

Tidak perlu dijelaskan lagi, umum mengetahui bahawa buah tembikai merupakan sejenis buah yang kaya dengan kandungan air. Setiap 100 g buah tembikai mengandungi sebanyak 92.6 g air. Satu jumlah yang agak banyak bukan?

Rasanya yang menyegarkan menjadikan buah tembikai ini sebagai salah satu buah pilihan yang sering diambil semasa musim dan cuaca panas.

2. Mencegah sembelit

Buah tembikai turut mengandungi komponen serat di dalamnya di mana serat mempunyai pelbagai terhadap kesihatan. Serat adalah sejenis karbohidrat kompleks yang tidak dapat dicerna oleh tubuh badan. Antara kebaikan serat adalah dapat mencegah sembelit dan meransang peristalsis di bahagian usus besar.

Selain itu, tembikai turut kaya dengan kandungan air yang tinggi di mana pengambilan air yang mencukupi juga dapat mencegah sembelit.

3. Bersifat anti oksida

Komponen yang bersifat anti oksida dapat mencegah kerosakkan sel yang diakibatkan oleh radikal bebas dan spesis oksigen reaktif. Tembikai mengandungi komponen likopena dan B-karotena yang bersifat anti oksida.

Pengambilan komponen-komponen ini dapat memberi kebaikan terhadap kesihatan tubuh badan dan mencegah penyakit yang disebabkan oleh tekanan oksida.

4. Bersifat anti inflamasi

Satu kajian terhadap haiwan telah dijalankan untuk mengkaji kesan pemberian serbuk tembikai ke atas profil lipid, kapasiti antioksida dan inflamasi. Kajian ini mendapati bahawa pemberian serbuk tembikai dapat mengurangkan paras tekanan oksida.

5. Mengawal paras kolesterol di dalam darah

Tahukah anda bahawa di dalam tubuh badan kita terdapat dua jenis iaitu kolesterol baik seperti HDL dan kolesterol tidak baik seperti TG dan LDL. Kajian mendapati bahawa ekstrak tembikai dapat menurunkan paras jumlah kolesterol dan LDL dan tidak mengganggu paras kolesterol baik, HDL.

Kandungan serat di dalam tembikai juga sedikit sebanyak membantu untuk mengurangkan paras kolesterol di dalam darah.

Artikel Berkaitan : Punca Kolesterol Tinggi

6. Mengurangkan paras tekanan darah

Tekanan darah yang tinggi menunjukkan bahawa terdapat tekanan yang tinggi dikenakan terhadap salur darah. Kondisi ini sangat merbahaya di mana ianya dapat menyebabkan beberapa komplikasi seperti strok atau angin ahmar.

Buah tembikar dapat mengurangkan tekanan darah melalui perkembangan salur darah yang dapat menurunkan paras tekanan di dalam darah. Kajian turut mendapati bahawa pemberian tembikai dapat membantu untuk menurunkan paras tekanan sistolik dan diastolik.

Artikel Berkaitan: Punca Darah Tinggi dan Rawatan

7. Bersifat anti diabetik

Diabetes adalah salah satu penyakit di mana paras gula di dalam darah melebihi paras normal kerana terdapatnya kekurangan atau rintangan insulin.

Kajian terhadap haiwan diabetic mendapati bahawa pemberian serbuk buah tembikai dapat mengurankan paras gula di dalam darah dan meningkatkan paras insulin.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis

8. Mencegah pereputan makular berkait dengan usia

Apakah itu macula? Macula adalah sejenis saraf mata yang berfungsi untuk penglihatan. Pereputan macular berkait dengan usia adalah keadaan di mana terdapat perubahan pada macular terutamanya bagi mereka yang berusia dan perubahan ini dapat mengganggu penglihatan mereka. Likopena di dalam buah tembikai dapat mencegah pereputan macular dan menjaga kesihatan.

9. Membantu pemulihan tubuh badan

Di dalam buah tembikai terdapat sejenis asid amino yang digelar l-Citrulline. Asid amino ini dikatakan dapat membantu untuk melegakan keletihan otot. kajian telah dijalankan di mana atlet telah diberi jus tembikai dan kajian ini mendapati bahawa pemberian jus tembikai dapat memulihkan kadar denyutan jantung dan melegakan keletihan otot selepas 24 jam.

10. Menjaga kesihatan kulit

Selain dimakan begitu sahaja, tembikai turut digunakan secara meluas di dalam penghasilan produk penjagaan kulit seperti pelembap wajah. Hal ini kerana terdapatnya kandungan vitamin C dan vitamin A di dalam buah tembikai yang dapat memberi manfaat kepada kesihatan kulit. Vitamin C bertanggungjawab di dalam penghasilan kolagen manakala vitamin A bertindak untuk membaiki sel kulit.

Konklusinya terdapat pelbagai manfaat dan khasiat yang dapat diperolehi daripada buah tembikai. Pengambilannya bersama diet seimbang yang lain pasti dapat memberikan manfaat kepada kesihatan. Namun haruslah diingat pengambilannya haruslah secara bersederhana terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes untuk mengelakkan sebarang komplikasi terhadap kesihatan.

Rujukan

  1. Ahn, J., Choi, W., Kim, S. et al. Anti-diabetic effect of watermelon (Citrullus vulgaris Schrad) on Streptozotocin-induced diabetic mice. Food Sci Biotechnol 20, 251–254 (2011).
  2. Hong, M. Y., Hartig, N., Kaufman, K., Hooshmand, S., Figueroa, A., & Kern, M. (2015). Watermelon consumption improves inflammation and antioxidant capacity in rats fed an atherogenic diet. Nutrition research (New York, N.Y.)35(3), 251–258.
  3. Maoto, M. M., Beswa, D., & Jideani, A. I. (2019). Watermelon as a potential fruit snack. International Journal of food properties22(1), 355-370.
  4. Massa, N. M., Silva, A. S., de Oliveira, C. V., Costa, M. J., Persuhn, D. C., Barbosa, C. V., & Gonçalves, M. D. C. (2016). Supplementation with watermelon extract reduces total cholesterol and LDL cholesterol in adults with dyslipidemia under the influence of the MTHFR C677T polymorphism. Journal of the American College of Nutrition35(6), 514-520.
  5. Massa, N. M. L., Silva, A. S., Toscano, L. T., Silva, J. D. A. G. R., Persuhn, D. C., & Gonçalves, M. D. C. R. (2016). Watermelon extract reduces blood pressure but does not change sympathovagal balance in prehypertensive and hypertensive subjects. Blood pressure25(4), 244-248.
  6. Tarazona-Díaz, M. P., Alacid, F., Carrasco, M., Martínez, I., & Aguayo, E. (2013). Watermelon juice: potential functional drink for sore muscle relief in athletes. Journal of agricultural and food chemistry61(31), 7522–7528.
  7. Food Compositon Database Module Industry. (1997). MyFCD Malaysian Food Composition Database.
  8. Degenerasi Makula Berkaitan Dengan Usia. (2019). MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.

10 Khasiat Buah Tembikai Yang Anda Perlu Tahu Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts