Kompleks ICQS Padang Besar, Durian Burung dibuka

by Oh! Semput


HOME Posted on 30 Jun 2020 23:03:23



Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar dan Durian Burung akan dibuka bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja. — Foto Bernama
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar dan Durian Burung akan dibuka bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat keputusan untuk membuka Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis dan di Durian Burung, Kedah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata ia akan dibuka bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja.

“Agensi-agensi yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan ini untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat bersetuju agar rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia tidak perlu lagi memohon permit MyPass daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ismail Sabri berkata, 39 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), melibatkan tiga direman dan 36 lagi dikompaun.

Antara kesalahan ingkar PKPP ialah aktiviti pub atau kelab malam, aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarak sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM telah membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,527 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata 28 operasi sanitasi awam dijalankan semalam meliputi 23 zon di sembilan negeri antaranya di Sabah, Melaka dan Terengganu.

Dalam pada itu, 456 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam, manakala 161 individu memasuki sempadan negara di Johor dan kesemua mereka telah diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“PDRM telah membuat 1,006 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 74 tapak binaan seluruh negara semalam dan daripada jumlah itu 61 tapak binaan patuh SOP, lima tapak tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala lapan lagi tidak beroperasi.  —  Bernama

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...