7 Konsep Perpustakaan Paling Unik di Dunia

by Oh! Semput


HOME Posted on 14 Jan 2021 07:30:49



Perpustakaan? Ianya mungkin tempat yang membosankan bagi sebahagian besar manusia, tetapi bagi segelintir manusia lain perpustakaan merupakan syurga bagi mereka. Bagi yang gemar membaca buku, berkunjung ke perpustakaan merupakan satu terapi bagi mereka.

Malangnya, walaupun terdapat banyak perpustakaan di negara kita, tidak ramai yang benar-benar memanfaatkannya. Ini pastilah merugikan kerana tidak semua tempat di dunia yang menyediakan kemudahan perpustakaan untuk penduduk setempat.

Maka, penggemar buku terpaksa mengambil inisiatif mereka sendiri mewujudkan perpustakaan mereka sendiri agar lebih ramai penduduk setempat mendapat manfaat daripada buku. Kali ini, kami ingin berkongsi 7 konsep perpustakaan unik yang wujud di seluruh dunia.

1. Program Books-by-Elephant

Di kawasan pergunungan Omkoi, Thailand, tidak ada sekolah atau perpustakaan dan ramai orang tidak dapat membaca atau menulis. Program Books-by-Elephant berharap dapat mengubahnya. Sebilangan besar kampung terpencil ini hanya dapat dicapai dengan berjalan kaki.

Pada musim hujan, perjalanan ke kawasan-kawasan perkampungan ini mungkin sukar,  tetapi tidak bagi gajah. Di Thailand, gajah sudah digunakan di sawah dan dalam industri pembalakan. Dengan kerangka yang dibina khas di badan mereka, haiwan ini boleh membawa kotak besar buku bersama peralatan video dan piring satelit - apa sahaja yang diperlukan untuk mengajar orang membaca.

2. Perpustakaan kereta bergerak

Artis Raul Lemesoff mencipta kereta khusus berbentuk kereta kebal ini untuk "memerangi" kejahilan dan menyebarkan pengetahuan melalui jalan-jalan di Buenos Aires. Kereta miliknya ini dibina daripada model kereta Ford Falcon 1979 yang telah diubahsuai.

Dengan ruang untuk 900 buku, Raul Lemesoff  dapat menyediakan buku untuk ramai pembaca, tetapi sasaran utamanya adalah golongan muda. Dia yakin pembaca muda akan menjadi pembaca sepanjang hayat. "Saya tidak melakukan ini untuk wang atau kemasyhuran", katanya. "Saya melakukannya kerana ia menyeronokkan. Saya "menyerang" orang dengan pengetahuan tetapi dengan cara yang baik dan lucu".

3. Biblioburros

Keldai selalu digunakan sebagai haiwan untuk mengangkut barangan, tetapi sekarang mereka memiliki pekerjaan khusus iaitu membawa buku ke daerah pergunungan di Venezuela. Ditaja oleh University of Momboy, sebuah institusi yang terkenal dengan khidmat masyarakatnya, Biblioburros telah mengubah kehidupan penduduk kampung yang tidak terhitung jumlahnya.

Kebanyakan penduduk kampung ini tinggal di Pegunungan Andes dan pendakian ke rumah mereka amat mencabar. Perjalanan bermula di Lembah Momboy di Trujillo di mana keldai itu sarat dengan buku. Menurut para sukarelawan, wajah anak-anak yang menggembirakan menjadikan segala kepenatan mereka berbaloi.

4. Perpustakaan di stesyen bas

Perpustakaan Levinski terletak berhampiran stesen bas pusat Tel Aviv dalam komuniti yang dihuni oleh pelarian dan pekerja migran. Sebilangan besar orang-orang disini bukan warganegara yang sah, tetapi mereka mempunyai minat membaca. Perpustakaan ini cukup minimalis - tidak ada dinding, hanya dua rak yang dibina di sisi tempat perlindungan awam.

Koleksi 3,500 buku terdapat dalam 15 bahasa dari Mandarin dan Amharic hingga Romania. Kemudahan luaran ini dilengkapi dengan kanopi yang boleh bergerak untuk melindungi buku dari hujan. Terdapat rak tinggi untuk orang dewasa dan ruang membaca khas untuk kanak-kanak dengan panel yang boleh dilipat untuk duduk.

5. Perpustakaan layan diri

Dengan perpustakaan mesin layan diri, anda boleh menaiki kereta tidak kira pukul berapa dan pergi meminjam buku dari mesin ini. Perpustakaan layan diri banyak muncul di luar negara terutamanya di kawasan ramai orang seperti tempat meletak kereta, hospital dan pusat membeli-belah.

Tahun pertama setelah Contra Costa di California melancarkan mesin layan diri buku mereka, peredaran buku di perpustakaan meningkat sebanyak 8 peratus dan ini bersamaan dengan 600,0000 buah buku.

6. Bot perpustakaan

Epos adalah sebuah bot berukuran 24 meter diubahsuai untuk menyimpan 6.000 buku bersama dengan dapur dan tempat tinggal kru. Ianya beroperasi dari bulan September hingga April dan membuat dua perjalanan setiap tahun. Dalam tempoh ini, ia akan mengunjungi 150 kawasan perkampungan pesisir laut yang sukar diakses dengan kaedah tradisional.

Bot ini mengikut jadual yang ketat. Mereka tiba pada waktu yang ditentukan dan berhenti selama dua jam di setiap lokasi di mana mereka menerima sehingga 150 pengunjung. Menurut pustakawan Joep Aarts, peminjam buku yang paling bersemangat adalah kanak-kanak dan orang tua.

7. Perpustakaan bergerak atas unta

Jambyn Dashdondog merupakan pemilik perpustakaan bergerak dengan menunggang unta di Mongolia. Selama 20 tahun, beliau telah menempuh jarak sejauh 80,000 kilometer melalui hujan dan terik matahari. Ahli pasukannya adalah isteri dan anaknya dan pengangkutannnya terdiri dari unta, kereta sapi, dan van berhias.

Pada awal tahun 1990-an, pemerintah Mongolia melepaskan diri dari komunisme dan kemudian kehilangan dana untuk perpustakaan mereka. Berurusan dengan buku dan sastera bukanlah perniagaan yang menguntungkan dan dalam ekonomi pasaran bebas yang baru, pelabur sudah pastinya tidak mahu melaburkan dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan.

Jambyn Dashdondog membenci idea masyarakat yang tidak mempunyai perpustakaan. Beliau  memutuskan jika tidak ada tempat untuk anak-anak mendapatkan buku, beliau  akan membawa buku kepada anak-anak. Apabila singgah ke sesuatu kawasan, beliau akan tinggal selama beberapa hari sehingga penduduk kampung mempunyai waktu untuk membaca buku pilihan mereka sebelum bergerak ke kawasan lain pula.

Kredit:

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News