Korea Tak Sabar Jumpa Malaysia Di Suku Akhir Esok

by Oh! Semput


HOME Posted on 20 Jan 2018 04:02:47



Malaysia sudah pun melakar sejarah tersendiri apabila menewaskan Arab Saudi 1-0  untuk menjadi pasukan yang pertama dari Asean mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 dalam penampilan pertama sekaligus menjadi antara 8 pasukan terbaik asia.

Pengendali skuad Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee melahirkan kenyakinan dengan kemampuan pemainnya apabila bakal menghadapi skuad Korea Selatan bimbingan Kim Bong Gil di suku akhir esok.

“Ini kali pertama kami berada di peringkat ini tetapi Korea lebih berpengalaman. Mereka mempunyai banyak kejayaan dalam pembangunan pemain muda. Kami akan melakukan yang terbaik untuk bersaing dengan mereka,” jelas Kim Swee.

Walaupun ini pengalaman pertama Malaysia berada di peringkat suku akhir dalam kejohanan di Asia tetapi rata-rata pemain daripada skuad Ong Kim Swee tahu bagaimana nak menghadapi tekanan bermain di perlawanan yang berkelas tinggi.

15 orang pemain daripada skuad Ong Kim Swee berada di perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA pada bulan Ogos tahun lepas dan Kim Swee melihat perlawanan ini merupakan peluang terbaik untuk pemain bersaing dengan pemain berbakat dari Korea Selatan.

“Saya tak fikir bermain di perlawanan besar akan menjadi masalah buat pemain kami tetapi dari segi intensiti dan corak permainan berdepan pasukan berkualiti seperti Korea akan memberi cabaran yang terbaik untuk pemain,” katanya kepada sidang media menjelang perlawanan suku akhir esok.

“Saya harap mereka dapat memberikan segalanya. Seperti yang saya kata sebelum kejohanan bermula, kami berada di sini untuk belajar dan pada masa yang sama kami cuba melakukan kejutan,” jelasnya.

Sementara itu, skuad Korea Selatan yang pernah layak ke perlawanan akhir dalam saingan AFC B-23 pada tahun 2016 tidak mahu memandang mudah pada ancaman pasukan Malaysia yang disifatkan mempunyai kekuatan yang sama seperti Vietnam.

Hanya seorang pemain dari skuad Korea iaitu, Hwang Ki Wook yang terlibat dalam perlawanan akhir edisi 2016 dan mereka mempunyai ramai pemain muda yang berpengalaman beraksi dalam saingan tertinggi di peringkat remaja.

Mereka layak ke suku akhir setelah menewaskan Australia 3-2 di perlawanan terakhir peringkat kumpulan rabu lepas dan kekurangan rehat sehari akan memberi impak kepada tahap kecergasan pemain mereka untuk menentang Malaysia.

“Kelebihan memihak kepada Malaysia yang mempunyai rehat selama 3 hari sedangkan kami baru nak menjalani latihan pada hari ini. Tetapi pemain kami tetap bersemangat dan tak sabar untuk bertemu Malaysia pada hari esok,” kata jurulatih skuad bawah 23 tahun Korea Selatan.

“Perlawanan menentang Australia kelmarin sangat sukar begitu juga dengan 2 perlawanan sebelum ini. Pemain kami mempunyai semangat yang tinggi, unik dan saya sangat percaya kepada mereka.

“Tiada siapa yang boleh meramalkan keputusan untuk hari esok kerana Malaysia bukan lawan yang mudah tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk negara,” jelasnya.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...