by Oh! Semput
LABUAN – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek-projek bernilai RM120.2 juta untuk dilaksanakan di pulau bebas cukai ini bermula tahun depan.
Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata projek berpaksikan rakyat itu bertujuan untuk meningkatkan ekonomi pulau tersebut terutama industri pelancongan.
“Ekonomi Labuan telah teruk terjejas akibat kelembapan dalam sektor minyak dan gas memandangkan ekonomi pulau itu banyak bergantung kepada sektor tersebut selama ini.
“Kami sedang membangunkan industri pelancongan secara agresif, meneroka idea-idea baharu dan meningkatkan kemudahan pelancongan,” katanya pada Roadshow Bajet 2017 di sini hari ini.
Sebanyak 38 projek pembangunan bernilai RM752 juta akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11.
Projek itu termasuk pembinaan jalan dari Membedai ke Tanjung Aru; pembangunan pendaratan ikan di Kompleks LKIM; pembinaan jambatan Kg Patau-Patau; kemudahan jeti pelancongan Rusukan; program perumahan Batu Arang; dan menggantikan lif Hospital Labuan.
Kami masih mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti rekabentuk, penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan melantik perunding bagi semua projek.
“Memandangkan jumlah dana yang besar untuk pelbagai projek pembangunan, Labuan tidak ketinggalan atau diketepikan oleh kerajaan dari segi pengagihan peruntukan,” kata Rozman berkata, sambil menambah dana itu ialah untuk memudahkan pelaburan masa depan.
Beliau berkata Perbadanan Labuan (LC) masih menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan yang dijangka siap awal tahun depan.
“Kita berharap apabila infrastruktur (melalui dana) siap, ia akan membantu meningkatkan ekonomi Labuan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dalam jangka panjang,” katanya.
Rozman berkata, projek pembangunan tebingan hasil inisiatif swasta masih diberi pertimbangan kerana ia berpotensi mengubah landskap pembangunan pulau tersebut.
Justeru, beliau berkata kesalinghubungan antara Labuan ke tanah besar adalah penting da terus diketengahkan demi kepentingan ekonomi pulau itu.
“Kerajaan Sabah menyokong pembinaan jambatan. Kita berharap rundingan mengenai jambatan yang dicadangkan itu akan bermula pada Januari seperti dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Abdul Rahman Dahlan).
Rozman yakin jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar akan merangsang ekonomi pulau itu dan kawasan selatan di Sabah (Menumbok dan kawasan sekitar).
— BERNAMA