by Oh! Semput

Tahukah anda apa itu konsep kuasa faedah kompaun yang diperakui sebagai keajaiban dunia ke-8 oleh saintis terkenal Albert Einstein?
Apakah kaitan kuasa faedah kompaun ini dengan pelaburan yang anda lakukan dan bagaimana ia boleh membantu seseorang itu membina kekayaan dalam jangka panjang tanpa perlu berusaha gigih untuk memilikinya?
Definisi Investopedia menyatakan bahawa kuasa faedah kompaun atau power of compounding interest ialah keupayaan dividen atau pulangan tahunan untuk menjana pendapatan apabila dibiarkan (tidak dikeluarkan) dalam akaun dari tahun ke tahun (interest on interest).
Dividen yang tidak dikeluarkan ini akan dilaburkan semula oleh pengurus dana dan ia seterusnya akan menerima dividen dan begitulah seterusnya selagi ia dibiarkan dalam akaun.
Untuk meraih manfaat daripada keajaiban kuasa faedah kompaun, pelabur tidak boleh mengeluarkan dividen tahunan yang diterima sehingga satu tempoh yang ditetapkan, contohnya selama 10 hingga 20 tahun.
Dalam tempoh yang pendek, kuasa faedah kompaun tidak memberi kesan yang besar kepada pelaburan, namun selepas satu tempoh tertentu, bergantung kepada pulangan tahunan yang diterima, modal pelaburan akan mula berkembang pada kadar yang sangat pantas.
Usah terpedaya keinginan untuk cepat kaya
Mungkin ada yang berasakan konsep ini agak membosankan kerana perlu menunggu lama sebelum pelaburan berkembang dan memberi pulangan yang diharapkan, namun jangan terpedaya dengan keinginan untuk cepat kaya.
Jika tidak masakan pelabur hebat seperti Warren Buffet turut meletakkan matlamat jangka panjang sebagai satu daripada syarat dalam strategi pelaburannya.
Sehingga kini beliau adalah salah seorang individu paling berjaya dalam dunia pelaburan.
Jadi bagaimana kuasa faedah kompaun membolehkan pelaburan berkembang dalam jangka panjang?
Sebagai contoh, katakan Ahmad melabur RM5,000 dalam instrumen pelaburan yang memberi pulangan purata 6 peratus setahun.
Selepas 20 tahun, sekiranya Ahmad tidak mengeluarkan pelaburan dan dividen yang diterima, pelaburan beliau mampu berkembang kepada RM 16,551 yang mana RM11,551 adalah pendapatan daripada pelaburan semula dividen tahunan.
Jumlah berkenaan menjadi lebih besar jika Ahmad turut melabur setiap bulan secara konsisten.
Katakan Ahmad melabur RM100 setiap bulan sepanjang tempoh berkenaan, jumlah pelaburan Ahmad berkeupayaan untuk berkembang kepada RM62,755 yang mana RM33,755 disumbangkan dividen tahunan yang dilaburkan semula.
Kesimpulannya ialah, apabila modal pelaburan dan dividen tahunan tidak dikeluarkan untuk satu tempoh panjang, kuasa faedah kompaun akan menukar kedua-duanya kepada sebuah mesin yang mampu menjana pendapatan secara berterusan.
Sekiranya pelabur menambah pula pelaburan secara konsisten setiap bulan, kuasa faedah kompaun akan menjadi sebuah mesin menjana kekayaan lebih berkuasa.
Namun, semuanya memerlukan tempoh yang panjang, kesabaran dan komitmen kerana dalam mencipta kekayaan, masa adalah faktor paling utama yang akan menentukan jumlah tabungan seseorang.
Jadi sewajarnya pelaburan dimulakan sebaik sahaja seseorang itu menerima gaji pertama, dengan keutamaan perlu diberi kepada pelaburan, lebih-lebih lagi jika seseorang itu belum berkeluarga.
Matlamat jangka panjang
Apabila melabur, tetapkan matlamat jangka panjang untuk membina tabung persaraan, namun pada masa sama, matlamat jangka sederhana seperti perkahwinan, membeli rumah dan pendidikan anak-anak boleh direalisasikan dengan mengeluarkan jumlah yang perlu sahaja.
Jika boleh, jangan keluarkan dividen atau agihan pendapatan yang diterima sekiranya tiada keperluan mendesak kerana ia hanya akan membantutkan pertumbuhan pelaburan.
Oleh kerana matlamat pelaburan adalah jangka panjang, pilih pelaburan dengan risiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sehingga kini menunjukkan keupayaan memberi pulangan kompetitif, sesuai dengan risiko yang perlu ditanggung pelabur berbanding instrumen lain.
Category: Semasa