Ladang mini dalam sekolah jana pendapatan tambahan - Maszlee

by Oh! Semput


HOME Posted on 13 Jun 2019 18:01:32



SHAH ALAM, 10 JUN: Pendekatan pembelajaran secara terbuka dengan mengusahakan ladang mini oleh warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara di Pulau Pinang berjaya menarik perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Maszlee berkata, ladang mini dalam sekolah yang diusahakan guru dan murid SJKT itu berjaya menghasilkan pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan haiwan ternakan seperti ayam sehingga mampu menjana pendapatan tambahan mencecah RM600 sebulan.

“Melalui ladang ini, SJKT menjadikannya sebagai medan pembelajaran khasnya untuk mata pelajaran Sains dan ia mempunyai nilai tambah apabila menjana pendapatan tambahan kepada sekolah sehingga RM600 sebulan.

“Menjadikan program Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai fokus, sekolah ini turut menggerakan pelbagai aktiviti pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana sekolah yang selesa dan menyeronokkan,” tulisnya di laman rasmi akaun media sosial facebook beliau semalam.

Maszlee yang berkesempatan melawat sekolah terbabit pada 17 Mei lalu berkata, sekolah ini juga tidak menetapkan kerja rumah untuk muridnya, sebaliknya memberi ruang kepada mereka menikmati persekitaran pendidikan yang ada secara positif.

Katanya, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan permainan yang diaplikasikan menjadikan sekolah ini sebagai paksi penyebaran ilmu melalui pengalaman menggembirakan.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melihat SJKT Sungai Ara berkeupayaan menjadi sekolah contoh melalui penekanan aspek nilai kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati dalam sistem pendidikan.

“Tahniah kepada Guru Besar, Encik Sangga Sinnayah dan seluruh warga sekolah kerana cukup komited dalam mendidik anak-anak mengenali dunia dengan cara yang cukup hebat,” katanya.

- Media Selangor

Share this

Admin

Posts

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...