by Oh! Semput

Penceramah agama, Don Daniyal Don Biyajid (dua dari kanan) menandatangani sebagai simbolik disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarul Zaman Shaharudin (dari kanan), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor Majlis Agama Islam Selangor, Anuar Hamzah Tohar (dua dari kiri) dan Pengurus Cawangan Kl Sentral Bank Islam, Mohd Munif Yahaya pada Majlis Pelancaran Program Wakaf Buku Dewan Bahasa dan Pustaka di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka. – Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan RM50,000 untuk Program Wakaf Buku DBP dalam usaha menggalakkan orang ramai menjadikan buku sebagai satu bentuk wakaf yang boleh dimanfaatkan secara kekal.
Program itu mendapat kerjasama strategik Perbadanan Wakaf Selangor dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin, berkata wang yang diwakafkan akan dikumpul untuk membeli dua jenis kitab, masing-masing berharga RM550 dan RM600 setiap set yang mengandungi lima kitab.
Katanya, sebanyak 40 kitab Tafsir Maudhu’iy dan 40 kitab Tafsir Mubin akan diwakafkan kepada lima Maahad Tahfiz terpilih melalui program berkenaan.
“Program selama enam bulan lima hari bermula hari ini bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai melakukan wakaf,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Wakaf Buku DBP, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pendakwah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Turut hadir, Pengurus Cawangan Bank Islam KL Sentral, Mohd Munif Yahaya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar.
Kamarul zaman berkata, lima kaedah untuk orang ramai menyalurkan wakaf bagi program berkenaan.
Pertama melalui kaedah pembayaran dalam talian eGHL (akaun DBP), di kaunter Bank Islam, pemindahan akaun, melalui kedai buku DBP dan ujana buku DBP berhampiran.
Pelanggan diberi pilihan untuk wakaf dengan nilai bermula RM10, RM30, RM50, RM100 atau sebuah buku.
“Sasaran utama pewakaf bagi program itu adalah badan kerajaan, agensi swasta dan kumpulan individu terutama pelanggan DBP dan Bank Islam.
Pewakaf boleh membuat tuntutan resit rasmi wakaf dengan menghantar butiran diri dan jumlah yang diwakafkan ke alamat e-mel [email protected] atau WhatsApp ke nombor 0192141956. Mereka boleh guna resit berkenaan bagi pelepasan cukai.
Category: Semasa