by Oh! Semput
Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mempunyai 37 rekod jenayah lampau ditahan selepas kenderaan dinaikinya dikejar polis kira-kira 30 minit dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga ke Sri Petaling, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian bermula apabila Peronda Lebuhraya Bukit Aman mengesan sebuah Ford Ranger dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya KESAS.
Anggota polis kemudian mengarahkan kenderaan itu berhenti bagi pemeriksaan, namun pemandunya dipercayai enggan memberikan kerjasama dan terus memecut untuk melarikan diri.
Pengejaran bermula dari kawasan Plaza Tol Awan Besar arah Klang (Barat) sebelum diteruskan sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling.
Dalam usaha menghentikan kenderaan terbabit, polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar. Bagaimanapun, suspek masih meneruskan pelarian dan berhenti seketika berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi sebelum kembali memecut.
Menurut Fadil, tindakan suspek yang dipercayai cuba melanggar anggota polis menyebabkan beberapa das tembakan lagi dilepaskan ke arah tayar belakang kenderaan tersebut.
Pengejaran akhirnya berakhir apabila Ford Ranger berkenaan hilang kawalan di Jalan Hang Tuah 4 sebelum terbabas dan melanggar sebuah kereta Mazda.
Seorang suspek berjaya ditahan, manakala seorang lagi yang dipercayai merupakan pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri dan kini sedang diburu polis.
Pemeriksaan terhadap Ford Ranger itu menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, selain sejumlah kabel yang disyaki hasil kegiatan curi.
Semakan polis mendapati suspek yang ditahan mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan turut berada dalam senarai individu yang dikehendaki.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membantu siasatan mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 307 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan membunuh, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan khianat serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri.
Polis masih menjalankan usaha mengesan seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Brickfields di 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kejadian itu turut mendapat perhatian selepas beberapa gambar dan video Ford Ranger berwarna hijau yang terbabas serta dikepung pihak berkuasa tersebar di media sosial.
Lelaki ‘Dikehendaki’ Ditahan Selepas 30 Minit Dikejar, Polis Lepaskan Beberapa Das Tembakan first appeared on #1 The News Malaysia.