Lelaki Indonesia Dipenjara 13 Tahun Selepas Bunuh Perogol Anak

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 01 Oct 2026 15:00:50

Seorang lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang didakwa merogol anak perempuannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selepas pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan digantikan dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) kanun sama.

Hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 2 September 2024. Selepas selesai menjalani hukuman, tertuduh turut diperintahkan untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Mengikut fakta kes, kejadian bermula selepas anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memberitahu ibunya bahawa dia didakwa telah dirogol oleh seorang lelaki berusia 33 tahun ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis pada malam 31 Ogos 2024.

Selepas mengetahui perkara tersebut, tertuduh mengambil sebilah parang dan mencari lelaki berkenaan. Mangsa kemudian dikejar sehingga ke kawasan reban ayam berhampiran sebelum tertuduh melibasnya beberapa kali.

Mangsa kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. Polis turut merampas parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian ketika menahan tertuduh di rumahnya pada 2 September 2024.

Dalam prosiding mahkamah, fakta berkaitan dakwaan serangan seksual terhadap kanak-kanak itu turut dibentangkan. Pemeriksaan di Hospital Tawau dilaporkan menemukan koyakan baharu pada bahagian sulit mangsa kanak-kanak, manakala analisis Jabatan Kimia Malaysia menemukan DNA lelaki berkenaan pada kepingan kuku kanak-kanak tersebut dan profil DNA daripada kesan air mani pada seluar dalamnya dilaporkan sepadan dengan DNA mangsa.

Tertuduh, yang merupakan bapa kepada enam anak, diwakili peguam Jhessery P Kang, manakala pendakwaan dikendalikan Nur Nisla Abd Latif.

Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta denda bagi kesalahan menyebabkan kematian yang termasuk dalam peruntukan tersebut.

Lelaki Indonesia Dipenjara 13 Tahun Selepas Bunuh Perogol Anak first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts