Curi Letrik: Pemegang Akaun TNB Perlu Sedia Terima Tuntutan

by Oh! Semput


HOME Posted on 15 Aug 2019 04:00:36




KUANTAN - Terbeban dengan kerugian hasil ratusan juta ringgit kepada para pengguna elektrik curang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan bertindak tegas menuntut balik jumlah kerugian itu daripada pemegang akaun langganan perkhidmatan yang dikenal pasti.

Sehingga Jun tahun ini, syarikat utiliti negara itu merekodkan RM106 juta kerugian hasil berpunca daripada aktiviti perlombongan Bitcoin melibatkan 457 kes di Semenanjung, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 370 kes.

Pengurus Besar (Perjangkaan) Bahagian Rangkaian Pembahagian TNB Siti Sarah Johana Mohd Said berkata pemegang akaun TNB akan dipertanggungjawabkan melunaskan tuntutan kerugian hasil itu meskipun yang mencuri elektrik adalah penyewa premis mereka.

Surat tuntutan kerugian hasil akan dihantar kepada pihak terbabit selepas pemotongan bekalan elektrik dilakukan.

Curi elektrik juga didapati berlaku di Kuantan baru-baru ini menyaksikan pengguna membuat sambungan terus daripada peti agihan elektrik terus ke dalam premis tanpa melalui meter elektrik kerana jumlah arus elektrik yang diguna adalah sangat banyak.

Bercakap pada sidang akhbar baru-baru ini di Wisma TNB Kuantan, Siti Sarah Johana berkata sepanjang tahun lalu pula, daripada RM76 juta kerugian hasil, sejumlah 210 kes berlaku di Selangor diikuti Johor (153 kes), Negeri Sembilan (94), Perak (50), Kuala Lumpur (43), Pulau Pinang (36), Melaka (14), Pahang (lapan), dan Kedah (dua). 

Beliau berkata antara kes tuntutan balik melalui kes mahkamah yang berjaya dan yang paling tinggi jumlah direkodkan adalah kes JCY HDD Technology Sdn Bhd di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan tuntutan balik kira-kira RM7 juta pada 18 Julai 2018.

Mereka yang melakukan perbuatan itu, katanya, boleh didakwa dan didenda mengikut peruntukan Seksyen 37 (1), (3) dan (14) serta Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Dalam menangani kes seumpama ini, beliau berkata TNB dibenarkan memotong bekalan selama tidak melebihi tiga bulan dan mengambil tindakan sivil di mahkamah jika pengguna masih gagal membuat bayaran tuntutan selain boleh mengenakan tuntutan balik sehingga lima tahun ke belakang kepada pemilik akaun premis.

Pemilik premis yang menjadi pemegang akaun langganan perkhidmatan perlu mengambil maklum tentang perkara ini dan bersedia menerima surat tuntutan bil kerana Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum ini pernah mengingatkan mereka untuk memberi perhatian terhadap aktiviti yang dijalankan di premis masing-masing dan memindahkan akaun sementara kepada nama penyewa. 

"Jika pemilik premis berpindah dan menyewakan premis mereka kepada orang lain, mereka perlu melakukan change of tenancy iaitu menukar nama di akaun bil elektrik sedia ada bagi mengelakkan sebarang tuntutan liabiliti tidak berbayar," katanya.

Pemilik premis boleh membuat pemohonan itu secara dalam talian dengan mengisi borang elektronik menerusi myTNB Self Service Portal atau memohon di mana-mana Kedai Tenaga TNB.

Baru-baru ini, sebanyak 33 premis di sekitar Kuantan diserbu TNB kerana disyaki melakukan usikan pada peti agihan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM3.2 juta kepada syarikat utiliti tenaga itu.

"TNB memulakan operasi (mengesan kegiatan ini) banyak di Selangor dan KL. Kami betul-betul perasan dia masuk dalam radar kami pada awal tahun 2018, mungkin pengusaha sudah lama ada tetapi menggunakan aktiviti secara haram yang ketara pada 2018.

"Kami tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku, mungkin market untuk industri Bitcoin sendiri sudah mula ada penurunan daripada segi keuntungan, jadi bila ia berlaku, kebanyakan pengguna akan ambil elektrik secara curang," katanya.

"Premis yang mempunyai barisan panel-panel Bitcoin akan mewujudkan persekitaran yang panas, kita tengok keadaan sekelilingnya seperti dinding dan bumbung adalah terdiri daripada bahan yang mudah terbakar.

"Sekiranya keadaan panas itu tidak dikawal, lintar pintas akan berlaku kerana penyambungan berlaku secara haram dan ia boleh menyebabkan kebakaran kepada premis berkenaan dan boleh merebak ke premis lain," katanya.

Mata wang kripto itu membolehkan individu memindahkan nilai antara satu sama lain dan membayar barangan dan perkhidmatan tanpa melalui bank-bank dan sistem kewangan arus perdana, namun ia tidak sah di Malaysia. #sumber

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...