Malaysia cadang PBB wujud mekanisme kerjasama monetari antarabangsa

by Oh! Semput


7
SHARES
86
VIEWS
Posted on 24 Sep 2022 01:00:31

MALAYSIA pada Jumaat meminta negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi menangani pelbagai isu ekonomi, antaranya cengkaman inflasi yang melanda dunia.           

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata mekanisme sebegini diperlukan memandangkan dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain. 

 “Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain,” katanya dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke -77 di Ibu Pejabat PBB, di New York.

Ismail Sabri berkata, cadangan penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa adalah bertujuan untuk membina sistem yang lebih efektif, adil dan mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.             

“Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua,” katanya.

 Sejak kebelakangan ini, trend kadar inflasi yang tinggi menjadi fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Menurut kajian yang dibuat oleh Bank Dunia, ketika bank di seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak ekoran inflasi, dunia kemungkinan akan menuju ke arah kemelesetan pada 2023.

Bank pusat di seluruh dunia telah menaikkan kadar faedah tahun ini pada kadar yang belum pernah dilihat sejak lima dekad lepas - satu trend yang dijangka akan berterusan sehingga ke tahun depan, kata laporan itu. 

Para pelabur menjangka bank pusat menaikkan kadar dasar monetari kepada sehingga hampir 4 peratus sepanjang 2023, peningkatan lebih daripada 2 peratus berbanding purata pada 2021.

Di Malaysia, Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 oleh Kementerian Kewangan pada awal bulan ini menunjukkan kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berikutan langkah kerajaan menyediakan peruntukan subsidi yang lebih besar iaitu sebanyak RM77.7 bilion bagi tahun 2022 jika dibandingkan dengan bajet asal sebanyak RM31 bilion.

Menurut laporan itu, kadar inflasi di Malaysia meningkat 3.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, selari dengan jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus bagi tahun ini, didorong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, harga komoditi yang masih tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global.

Bagi Ogos 2022, kadar inflasi negara meningkat sedikit kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai 2022 dan kadar inflasi masih tinggi berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Kadar inflasi pada Ogos 2022 di Zon Eropah adalah 9.1 peratus, Amerika Syarikat pada 8.3 peratus, Thailand pada 7.9 peratus, Filipina pada 6.3 peratus dan Republik Korea mencatatkan 5.7 peratus.

Sementara itu Ismail Sabri turut menyentuh mengenai komitmen Malaysia ke arah Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

“Covid-19 telah merencatkan usaha kita dalam mencapai SDG. Di sini, saya berdiri sebagai negara membangun menegaskan bahawa pelaksanaan dan kejayaan pembangunan sosioekonomi yang lebih hijau dan mapan akan dicapai dengan sahutan janji yang saksama dan inklusif.

“Hakikatnya, teknologi baharu menjadi penggalak kepada sesebuah negara untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Namun begitu, teknologi baharu ini perlulah bersifat mampu milik oleh negara-negara membangun,” katanya.

Oleh itu, dalam hal ini, Malaysia komited untuk menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar yang mana dalam konteks ini, pelbagai langkah telah  dilaksanakan oleh negara, kata Perdana Menteri.

Antaranya, dalam industri sawit, Malaysia telah memperkenalkan standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memenuhi keperluan bagi tujuan pembangunan mapan.

Selain itu, Malaysia juga komited untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau, sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Dalam hal ini, Malaysia meletakkan sasaran bagi mencapai 31 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menjelang 2025. Malaysia juga komited untuk mencapai status negara sifar pelepasan Gas Rumah Hijau seawal tahun 2050,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia juga mempunyai Dasar Tenaga Negara 2022-2040 bagi meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga. – Bernama, 24 September, 2022.              

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts