by Oh! Semput
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa pihak Norway telah memohon maaf berhubung isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang melibatkan perjanjian pertahanan antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan secara terus bersama Menteri Pertahanan Norway dalam satu pertemuan rasmi, di mana Malaysia turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan tersebut yang dianggap menjejaskan hubungan baik jangka panjang antara kedua-dua negara.
Namun begitu, beliau menegaskan Malaysia tidak berpuas hati dengan beberapa aspek tindakan tersebut, termasuk keputusan yang dibuat secara unilateral serta kelewatan makluman rasmi kepada Malaysia.
Menurut beliau, kontrak perolehan telah ditandatangani sejak 2018 dengan jadual penghantaran pada 2026, namun Malaysia hanya dimaklumkan mengenai masalah penghantaran pada saat akhir tanpa penjelasan rasmi yang jelas mengenai pembatalan lesen eksport.
Tindakan itu tidak mencerminkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Norway.

Khaled turut menegaskan Malaysia mahukan penyelesaian adil termasuk kemungkinan pemulangan wang yang telah dibayar kepada syarikat terlibat.

Dalam perkembangan sama, Malaysia juga telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkaitan, sambil menunggu langkah susulan daripada kerajaan Norway.
Khaled berkata isu ini akan dibawa oleh Menteri Pertahanan Norway kepada kerajaannya, namun beliau sendiri meragui hasil akhir yang akan dicapai.
Artikel lain: Isu bekalan NSM bagi LCS TLDM: Malaysia buka saluran diplomatik dengan Norway
Beliau turut memberi amaran bahawa insiden ini akan memberi kesan jangka panjang kepada hubungan diplomatik dan pertahanan kedua-dua negara.