Bank mampu beri lanjutan moratorium — Lim Guan Eng

by Oh! Semput


2
SHARES
28
VIEWS
Posted on 01 Aug 2020 23:04:06

1 OGOS — DAP berasa amat kecewa dengan keengganan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi apabila moratorium tersebut tamat pada 30 September 2020 meskipun langkah tersebut akan membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tiada sebarang sebab diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengapa kerajaan tidak melanjutkan moratorium tersebut. 

Kedegilan dan keengganan kerajaan amat dikesali kerana kos terlibat adalah kecil berbanding manfaat yang akan diperoleh. Pihak bank dilaporkan kerugian RM6.4 bilion sejak pelaksanaan moratorium 6 bulan tersebut. 

Namun, ini merupakan pengorbanan yang kecil di pihak industri perbankan memandangkan industri tersebut telah mendapat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada 2019.

Keuntungan selepas cukai RM32 bilion tersebut sepatutnya membolehkan pihak bank membiayai kos RM6.4 bilion sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan tambahan bagi membantu pelanggan mereka mengharungi krisis ekonomi Covid-19. 

Jika pihak bank tidak rela membiayai kos RM6.4 bilion tersebut, kerajaan persekutuan patut menanggung kos RM6.4 bilion demi membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 PKS. 

Pihak bank sebenarnya berdepan golongan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana. Ramai mereka tidak mempunyai wang simpanan. Hakikatnya sebelum Covid-19, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia, telah melaporkan bahawa 36 peratus orang dewasa yang bekerja di Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan walaupun setakat RM1,000, manakala 24 peratus hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja dengan simpanan mereka jika mereka diberhentikan kerja. Keadaan kewangan golongan ini dijangka akan bertambah buruk dengan krisis ekonomi Covid-19.

Kos sebanyak RM6.4 bilion sebenarnya satu jumlah yang kecil berbanding puluhan bilion ringgit pinjaman tambahan oleh kerajaan di atas apa yang sudahpun diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi membiayai pakej ransangan ekonomi Covid-19. 

Justeru, kegagalan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank akan dilihat sebagai, pakej ransangan ekonomi Prihatin bernilai RM295 bilion tersebut sekadar indah khabar dari rupa, hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja dan bukan kepada rakyat biasa dan PKS. 

Tambahan pula, tiada sebarang penambahan diberikan untuk Geran Khas Prihatin (GKP) RM2.1 bilion di mana RM3,000 telah diberikan kepada 700,000 PKS. 

Sekurang-kurangnya 155,000 PKS Mikro yang berkelayakan gagal memohon GKP dalam tempoh yang diperuntukkan. Oleh itu, kerajaan sepatutnya menambah RM1 bilion lagi untuk GKP. 

Program Subsidi Upah juga tidak dilanjutkan sehingga Mac 2021 bagi membantu pekerja Malaysia. Dengan peningkatan mendadak kadar pengangguran sehingga 5.3 peratus, di mana ada 830,000 pekerja menganggur, pelanjutan program ini perlu dilaksanakan sekarang juga untuk menyelamatkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia. 

Kerajaan patut membantu mengekalkan pekerjaan rakyat dan bukan hanya membantu selepas rakyat kehilangan kerja. 

DAP menyeru Perdana Menteri agar berhenti membazir wang untuk rampasan kuasa politik menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH)/Warisan dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelebaran bantuan kewangan kepada perniagaan-perniagaan kecil, gaji pekerja, dan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enambulan lagi demi menyelamatkan perniagaan-perniagaan kecil daripada muflis dan pemberhentian pekerja.

*Lim Guan Eng adalah bekas menteri kewangan dan setiausaha agung DAP. 

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail. 

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts