save 2.0

Mangsa banjir di Pahang, Sabah, Johor semakin berkurangan

by Oh! Semput


HOME Posted on 14 Jan 2021 11:00:34



KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Keadaan nanjir di tiga buah negeri iaitu Sabah, Johor dan Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan berkurangan, sementara keadaan di Pahang tidak banyak berubah akibat banjir termenung disebabkan limpahan air sungai Pahang.

Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku di Sarawak apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat pagi ini ekoran keadaan hujan yang berterusan.

Setakat 8 pagi, jumlah mangsa banjir di negeri itu berjumlah 1,473 orang dan ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding hanya 385 mangsa petang semalam dengan daerah Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 1,179 orang yang kini berada di 12 PPS.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam laporan hariannya, ini diikuti Serian dengan 200 orang di lima PPS, Simunjan (40 orang di sebuah PPS), Kota Samarahan (34 orang di sebuah PPS) dan Miri (20 orang di dua PPS).

Banjir mulai melanda bahagian selatan dan utara Sarawak sejak Rabu ekoran keadaan hujan berterusan dan diikuti fenomena air pasang besar, namun keadaan cuaca dijangka beransur baik mulai esok.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 935 orang daripada 336 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,054 orang daripada 412 keluarga petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berkata mereka ditempatkan di 11 PPS yang dibuka di enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Kudat, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan.

Dalam pada itu, 33 jalan di seluruh negeri terjejas oleh banjir dengan 19 daripadanya di daerah Beaufort, Kudat (6), Pitas (6) dan dua lagi di daerah Kota Marudu.

Di PAHANG, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 11,422 orang daripada 3,044 keluarga masih berada di 126 PPS di lapan daerah setakat pagi ini.

Pekan kini merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,290 orang diikuti Temerloh (3,140 orang), Maran (2,066 orang), Bera (1,610 orang) dan Kuantan (841 orang).

Banjir di Lipis, Jerantut dan Raub pula semakin pulih dengan jumlah mangsa masing-masing seramai 353 orang, 73 orang dan 49 orang.

Di JOHOR pula, jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 2,943 orang melibatkan 812 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,999 orang melibatkan 830 keluarga petang semalam, dengan kesemuanya berada di 30 PPS di lima daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,110 orang melibatkan 558 keluarga di 22 PPS, diikuti Johor Bahru (624 orang, 205 keluarga di lima PPS), Kluang (121 orang, 27 keluarga di satu PPS), Segamat (76 orang, 20 keluarga di satu PPS) serta Batu Pahat (12 orang, dua keluarga di satu PPS).

Di KELANTAN keadaan banjir semakin surut dan hanya membabitkan jajahan Pasir Mas dengan jumlah mangsa berkurang kepada 32 mangsa setakat 8 pagi berbanding 58 orang pada petang semalam.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, kesemua mangsa banjir berkenaan termasuk seorang bayi lelaki ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Deh.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my, setakat pagi ini Sungai Golok di Kuala Jambu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 2.52 meter (bahaya 2.50 meter). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

tudung sekolah

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News