'Bali masih selamat', meski pelancong dari China diuji positif COVID-19

by Oh! Semput


HOME Posted on 15 Feb 2020 03:01:03



BALI: Seorang pelancong yang diuji positif virus COVID-19 selepas pulang ke China dari Bali, tidak mungkin dijangkiti virus berkenaan ketika berada di Indonesia, menurut pihak berkuasa kesihatan Bali pada Khamis (13 Feb).

"Secara teori, pelancong itu tidak terdedah kepada virus itu semasa di Bali kerana beliau meninggalkan pulau peranginan itu pada 28 Jan," Ketua Agensi Kesihatan Wilayah Bali Ketut Suarjaya dinukil sebagai berkata demikian oleh agensi berita Antara.

Beliau menarik perhatian bahawa pelancong itu diuji positif bagi COVID-19 pada 5 Feb di China, lapan hari setelah meninggalkan Bali.

Tempoh inkubasi bagi virus itu lazimnya antara tiga hingga tujuh hari, katanya.

"Walaupun beliau membawa virus itu (ke Bali), dan ia dalam inkubasi, sepatutnya ada satu kes dilaporkan di sini. Namun, ini merupakan hari ke-16 dan tiada sesiapa yang dijangkiti. Bali kekal selamat," tambah Encik Suarjaya.

"Tatacara pengendalian piawai (SOP) sudah pun selesai. Peralatan perubatan serta kakitangan sudah bersedia. Oleh itu, tidak perlu bimbang jika ia berlaku. Namun begitu, kami semua berharap ia tidak akan berlaku."

Encik Suarjaya juga dipetik sebagai berkata oleh portal berita TribunNews pada Khamis (13 Feb) bahawa pihak berkuasa menjejaki semula perjalanan pesakit itu, termasuk di hotel yang beliau menginap di kawasan Nusa Dua di bahagian selatan pulau berkenaan.

Menurutnya, 20 orang diletak di bawah pemantauan di hospital-hospital di Bali, di mana 14 diuji negatif virus COVID-19.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa daerah Anhui China melaporkan dalam media sosial bahawa pesakit berkenaan menaiki pesawat Lion Air dari Wuhan ke Bali pada 22 Jan.

Pesakit itu menetap di Bali selama sekitar seminggu sebelum menaiki penerbangan Garuda Indonesia dari Bali ke Shanghai pada 28 Jan.

Pada Khamis, Garuda menyatakan ia menggantung pesawat yang menurutnya membawa penumpang itu, untuk menjalankan pemeriksaan lanjut dan pembersihan secara menyeluruh.

Menurut Lion Air, penumpang itu tidak menunjukkan sebarang simptom ketika dalam perjalanan dari Wuhan ke Bali.

Ia menambah penumpang itu diperiksa secara rapi semasa tiba di lapangan terbang Bali. Kesemua 188 penumpang dan 11 anak kapal juga diperiksa.

Setakat Jumaat, COVID-19 sudah meragut nyawa hampir 1,400 orang dan menjangkiti lebih daripada 63,000 orang di seluruh dunia.

Indonesia sejauh ini tidak melaporkan sebarang kes jangkitan.

- CNA/HA/ha

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...