by Oh! Semput
TIDAK ada apa yang anehnya dengan saranan untuk menjadikan ubi kayu makanan ruji ganti sementara (baca dengan penerangan dan nota untuk ditekankan kata atau kalimat sementara itu).
Hanya mereka yang cetek fikiran sahaja menafikan bahawa makanan ruji dan asas orang Melayu antara lain adalah nasi, ubi kayu, dan sagu.
Dalam tradisi pemakanan dan gastronomi Melayu, ubi kayu mempunyai makam khas meskipun tidak sampai menggantikan kedudukan istimewa nasi.
Dalam banyak keadaan ubi dijadikan perlambangan hal budi dan bakti, atau agama dengan rujukan khusus kepada nabi.
Hal ini dapat dilihat dalam pantun-pantun Melayu lama. Antara lain ada bait pantun seperti;
Banyaklah ubi perkara ubi,
Ubi merambat tepi-tepian;
Banyaklah nabi perkara nabi,
Nabi Muhammad nabi pilihan.
Atau juga terlihat seperti dalam pantun ini, iaitu:
Cacaklah ubi tanda bertani,
Ubi dikerat di dalam taman;
Banyaklah nabi turun ke bumi,
Nabi Muhammad nan akhir zaman.
Ada banyak tanda ubi menjadi makanan ruji buat orang Melayu selain dari nasi. Jika kita mengkaji pembayang pantun yang merakam cara hidup orang Melayu, kita akan mendapati antara lain pantun seperti:
Terang bulan menggali ubi,
Ubi digali berkarung-karung;
Tuan di awan saya di bumi,
Berkirim surat di mulut burung.
Sayugia diingatkan pantun adalah khazanah dokumentasi cara hidup orang Melayu. Maka membaca pantun seibaratnya membaca dan mengertikan cara fikir dan gaya kehidupan mereka.
Dalam aspek gastronomi, pembayang pantun mengenai ubi mengisyaratkan kepada kita orang Melayu memang menjadikan ubi sebagai tanaman ganti pada masa tertentu.
Malah ubi ditawarkan dengan aneka keragaman untuk disediakan sebagai sajian menarik. Misalnya baca sahaja pantun-pantun ini:
Sejak ubi diberi bergula,
Manis melekat hila disayur;
Sejak babi jadi kepala,
Habislah umat kena sungkur.
Tanam ubi tanam kembili,
Mari dicolek santan manisan;
Adik hendak mencari bini,
Kalau boleh hendak berbesan.
Jika pantun di atas menentukan ubi yang digulakan, ada pula cara lain iaitu ubi disaran untuk direbus;
Rebus ubi tanam di kampung,
Sawah ladang tidak berpadi;
Putus tali boleh disambung,
Patah arang kerat sekali.
Pantun di atas juga menjelaskan ubi memang menjadi makanan ganti nasi di saat sawah tidak berpadi. Justeru mereka yang memperolokkan letak duduk ubi kayu ini ternyata memang teramat bebal ilmu hidup Melayu.
Pantun di bawah ini pula menjadi dalil kepada ubi sebagai tanaman integrasi, misalan lihat sahaja rangkap pantun di bawah ini:
Tanam ubi tanam keladi,
Anak belanak dalam tapisan;
Tuan beristeri dia bersuami,
Ada anak boleh berbesan.
Atau juga terpampang dalam pantun berikut:
Tanam ubi di tepi tebat,
Orang menjala di Kampung Ulu;
Hidup mati bersama sahabat,
Sahabat setia menudung malu.
Ubi kayu adalah sejenis tanaman kontan berkanji yang kaya dengan karbohidrat dan karotena, dan di banyak negara memang pun menjadi pilihan sebagai makanan ruji terutama di negara Asia seperti Vietnam, Filipina dan sesetengah ceruk di China, atau di Afrika seperti Nigeria dan Ghana malah di Brazil, Haiti, Paraguay, yang beriklim tropika.
Ia juga adalah sejenis tumbuhan yang boleh mendatangkan aneka produk, lantas menjadikan ia sangat unik. Antara lain ubi kayu boleh dijadikan kerepek, pelbagai kuih-muih basah dan boleh diusahakan untuk industri pengeluaran kanji.
Untuk orang kampung ubi kayu juga boleh dijadikan bahan makanan ternakan, jadi tidaklah membazirkan sisanya.
Di negara kita, ubi kayu pernah dikaitkan sebagai makanan ganti ketika era Perang Dunia Kedua. Namun demikian, tidak pula ramai mengetahui ubi kayu juga sebahagian dari tawaran budaya kita.
Di Sabah misalnya terdapat Pesta Ubi. Sebagai contoh di Daerah Tongod, Kinabatangan; masyarakat setempat menjadikan pesta ini titik fokal mempromosi hidangan berasaskan ubi kayu seterusnya mengkomersialkan produk berkenaan.
Tatkala ini juga Pesta Ubi diserikan dengan pertandingan Ratu Ubi (atau ratu cantik) selain pertandingan masakan berasaskan ubi kayu seperti makan tempatan Sabah antara lain ratogo, inampong, sinako, lampoka, sinako, langkout, dan ulam-ulam daun ubi kayu.
Makanya memang saya tersangat dan amat hairan apabila ada segelintir pihak mempersendakan ubi kayu apabila baru-baru ini ia menjadi topik hangat setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata, sumber karbohidrat seperti ubi kayu boleh dijadikan sebagai alternatif sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) dapat diselesaikan di negara ini.
Tidak ramai yang tahu ubi kayu banyak khasiatnya. Terdapat banyak sandaran yang ubi kayu dapat menjadi makanan untuk mengekalkan awet muda.
Selain itu sudah banyak kajian sains pemakanan yang menekankan manfaat ubi kayu kepada sistem tubuh badan manusia.
Ubi kayu dihujahkan secara saintifiknya mengandungi antioksidan seperti quercetin, kaempferol, dan asid fenolik.
Antioksidan ini akan membantu tubuh dalam melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas. Ia juga berkait rapat dengan penurunan risiko penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung.
Dalam kalangan perubatan tradisional, ubi kayu dipercayai boleh mengubati penyakit sakit kepala, gout, radang sendi, cirit-birit, menyembuhkan luka di samping meningkatkan stamina.
Kajian turut mengiktiraf ubi kayu sebagai makanan diet sihat. Ia disebut-sebut mempunyai indeks glisemik rendah, maka dapat menjadi alternatif untuk mereka yang berhasrat mengawal berat badan atau mempunyai masalah kencing manis.
Ini kerana ia memberikan rasa kenyang yang lebih lama dan mengawal paras gula dalam darah.
Jika ada dalam kalangan kita yang mentertawakan cadangan menjadikan ubi kayu sebagai ganti sementara nasi, anggaplah mereka itu manusia bebal yang jahil ilmu tradisi bangsa, dan buta sejarah nusa.
Tidak sulit mana mengecamkan orang bebal. Mereka menurut setia membabi buta pemimpin yang tiada hujahan.
Menurut Abu al-Laits As-Samarqandy, seorang faqih, ahli hadis, dan tafsir yang dikenali dengan Kitab Tanbiih al-Ghaafiliin (Ingatan Buat Yang Lupa) di masjid-masjid kita; ada enam ciri orang bebal.
Tiga darinya adalah melenting tanpa sebab dan usul periksa; mengulas tanpa mengkaji punca dan mengertikan manfaatnya; dan tidak mampu membezakan mana teman dan mana musuh, yang mana dalam hal ini apa yang baik dan apa yang tidak. Ramai dalam kalangan kita begini;
Ubi sedap makan bersambal,
Tabur di laman sisa dan hampas;
Orang bodoh tidak mengenal,
Mana ubi yang mana upas. – 13 April, 2024.
* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.