by Oh! Semput
Penyanyi rap Singapura, Sheikh Haikel berkongsi khabar duka apabila disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Menerusi perkongsian di Instagram, bekas juri program Maharaja Lawak Mega itu tampil sebak ketika mendedahkan keadaan kesihatannya kepada umum.
Menurut Haikel, dia bagaimanapun sudah menjalani pembedahan bagi merawat penyakit yang dihadapinya itu.
“Dengan hati yang paling berat, saya ingin memberitahu semua yang menonton bahawa saya menghidap kanser tahap empat,” katanya.
Haikel menjelaskan, perkongsian tersebut dibuat bagi memaklumkan keadaan sebenar kesihatannya selepas sekian lama memberitahu rakan-rakan bahawa dirinya berada dalam keadaan baik.
Namun, perubahan pada fizikalnya terutama penurunan berat badan mula menimbulkan persoalan dalam kalangan rakan-rakan terdekat.
Dalam pada itu, Haikel menegaskan bahawa penyakit yang dihadapinya tidak akan menghalangnya daripada terus menjalani kehidupan seperti biasa.
Malah, dia bertekad untuk meneruskan perjalanan kariernya dalam industri seni dan memberikan yang terbaik dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Saya mahu semua orang tahu bahawa saya akan memberikan yang terbaik.
“Hakikat bahawa saya sudah berkongsi perkara ini dengan semua orang membuatkan saya berasa lebih lega,” ujarnya.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian rakan artis dan netizen yang membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat serta doa agar segala urusan Haikel dipermudahkan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
“Saya Menghidap Kanser Tahap Empat” – Penyanyi Rap Sheikh Haikel Kongsi Khabar Duka, Tetap Mahu Teruskan Kehidupan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.