by Oh! Semput
Tindakan seorang individu dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan membantu seorang pemuda Cina yang mengalami kesusahan bukan sekadar menunjukkan nilai kemanusiaan, malah dianggap sebagai dakwah yang dekat dengan hati masyarakat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan menyatakan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama itu mencerminkan keindahan Islam melalui akhlak, ihsan dan kasih sayang sesama insan.
Menurut beliau, kisah melibatkan pemuda dikenali sebagai Dicky itu membuktikan dakwah bukan hanya melalui kata-kata, tetapi juga perbuatan baik yang memberi kesan mendalam.
Dalam pada itu, Zulkifli menyatakan Dicky yang merupakan seorang bapa tunggal dari Tawau, Sabah sebelum ini dibantu ketika melalui fasa sukar dalam hidupnya.
Selepas menerima sedikit rezeki, pemuda itu kembali mencari mekanik tersebut bukan sahaja untuk membalas jasa, malah mahu kebaikan itu diteruskan kepada orang lain.

Beliau turut menyifatkan momen Dicky yang bersalaman dan mencium tangan sebagai satu nilai akhlak yang tinggi serta menggambarkan realiti masyarakat yang saling memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang.
Tambahnya lagi, kisah itu menunjukkan gambaran masyarakat Malaysia yang sebenar iaitu saling membantu dan hidup dalam semangat ihsan.

Sebelum ini, kisah berkenaan tular di media sosial selepas pemuda tersebut menerima bantuan membaiki motosikal tanpa dikenakan bayaran oleh Abang Minyak Hitam Jalanan, yang kemudian menggunakan wang infak bagi menampung kos pembaikan tersebut.
: Facebook YB Senator Dr Zulkifli Hassan