Dobi ‘Mesra Muslim’: Kenapa Kecoh Sangat?

by Oh! Semput


3
SHARES
37
VIEWS
Posted on 27 Sep 2017 05:30:46

dobi mesra muslim

SETELAH isu pesta arak “Better Beer Festival 2017” dan pesta muzik gay “White Party BKK Warm Up 2017” menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat sepanjangl minggu lalu, kini isu perkhidmatan dobi ‘mesra Muslim’ pula menjadi perhatian dan perbincangan umum dengan respon yang pelbagai daripada masyarakat.

Ketika isu pesta arak dan pesta gay ditentang hebat masyarakat Islam lantaran tiadanya sensitiviti di pihak penganjur terhadap agama rasmi dan tatacara hidup masyarakat Islam di negara ini, isu perkhidmatan dobi layan diri ‘mesra Muslim’ oleh Elit Laundry di Muar, Johor pula memberikan perspektif yang berbeza.

Sewaktu isu ini mula-mula tular sekitar tiga hari yang lalu, ianya mengundang begitu banyak komen masyarakat daripada pelbagai segmen dan latar belakang. Ramai yang kedengarannya mengkritik keras polisi ‘mesra Muslim’ ini dan tidak kurang juga yang menyokong serta memuji usaha pemilik perniagaan tersebut untuk memelihara kesucian sebagai keutamaan dalam Islam. Malah di sana juga terdapat sebahagian kelompok masyarakat yang melabelkan polisi perniagaan dobi ini sebagai rasis yang berakar daripada Islamisasi yang melampau.

Bukan Isu Perkauman

Persoalannya, apakah polisi yang diamalkan oleh pemilik perniagaan tersebut sememangnya wajar dilabelkan sebagai rasis? Isu ini perlu dilihat dalam konteks yang berbeza dan lebih luas. Walaupun polisi perniagaan seumpama itu janggal dan bukanlah satu kemestian, pemilik perniagaan dobi tersebut mempunyai hak untuk menentukan siapakah kumpulan pelanggan kepada perkhidmatan yang ditawarkannya dan tentunya hak itu tidak boleh sama sekali dipersoalkan.

Malah, dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri tidak mempunyai kuasa melalui mana-mana peruntukan undang-undang untuk menghalang atau menutup operasi perniagaan itu. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Elit Laundry bukannya perkhidmatan yang berasaskan makanan atau minuman dan perkara itu semestinya membawa kepada situasi yang berbeza. Justeru, gesaan sesetengah pihak agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik perniagaan tersebut jelas cetek dan tidak berasas.

Tidak dinafikan bahawa pengusaha perniagaan ini nampaknya mempunyai tafsiran yang sedikit rigid berhubung isu ini kerana di sana terdapatnya keluasan yang diberikan Islam selagi mana kewujudan najis itu tidak terzahir dengan jelas dan tidak pula didasarkan dengan keyakinan akan kewujudan kotoran tersebut. Walau bagaimanapun, dakwaan melulu mengenai polisi yang disifatkan perkauman ini dapatlah kita umpamakan seperti ‘lebih kuah dari sudu’.

Banyak Lagi Perniagaan Yang Jauh Lebih Rasis

Hakikatnya, perkhidmatan dobi ‘mesra Muslim’ ini masih lagi memberikan perkhidmatan kepada kaum lain, baik Cina mahupun India atau sesiapa sahaja yang beragama Islam. Jika ada suara sumbang yang menyifatkan polisi pemilik dobi ini rasis, maka kita nyatakan di sini ramai lagi usahawan dan majikan di luar sana yang jauh lebih rasis dalam perniagaan dan perusahaan mereka. Kita boleh melihat perkara ini dengan sangat jelas dalam banyak contoh dan keadaan.

Akhbar-akhbar tertentu misalnya mempamerkan iklan mengenai peluang pekerjaan yang hanya ditawarkan kepada pemohon daripada kumpulan etnik tertentu. Begitulah juga di premis-premis perniagaan tertentu yang hanya mengambil pekerja daripada kelompok komuniti tertentu sahaja. Iklan-iklan seumpama ini bukan lagi rahsia, malah kadang-kala ianya terpampang secara terbuka di khalayak.

Dalam urusan yang tidak melibatkan kepercayaan agama, keadaan ini sememangnya mengecewakan, tetapi ramai yang memilih untuk tidak terlalu bercakap mengenai hal ini menyedari ianya adalah hak mutlak pemilik perniagaan untuk memilih sesiapa sahaja untuk menjadi kakitangan perusahaannya.

Kebimbangan Yang Wujud

Sudah tentu, di sana akan ada ‘cakap-cakap belakang’ yang terus mempertikaikan kewajaran polisi yang diamalkan oleh Elit Laundry ini. Malah, sehingga hari ini, ramai juga yang menyifatkan tindakan pemiliknya sebagai provokatif dan ekstrem selain membawa imej yang buruk terhadap Islam. Sesetengah orang Islam sendiri juga telah menzahirkan kebimbangan mereka mengenai perkembangan ini di mana mereka melihat isu ini sebagai contoh klasik betapa kroniknya amalan pemisahan kaum yang wujud di Malaysia.

Apapun, sebarang kecaman yang keterlaluan mahupun tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik perkhidmatan dobi ini, jika pun wujud, bukannya satu keperluan dan semestinya tertolak. Apatah lagi Elit Laundry yang menjadi topik perbualan hangat kini hanya menzahirkan keprihatinannya terhadap aspek kesucian dalam Islam, sesuatu yang sama sekali tidak melibatkan orang bukan Islam. Jika kita melayan gesaan untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap pemiliknya, maka gesaan yang serupa perlu kita lontarkan kepada pihak berkuasa agar tindakan yang sama dapat diambil terhadap mana-mana pengusaha yang terbukti jauh lebih rasis dalam polisi perniagaan mereka.

Ambil Yang Jernih

Akhirnya bagi orang Islam, tatkala ramai yang memilih untuk mengeji, polisi Elit Laundry dalam hal ini wajar kita puji. Dari satu segi, tindakan mereka juga mengingatkan kita kepada erti taharah atau kesucian yang mungkin selama ini diambil ringan oleh sebahagian daripada kita. Malah, kita mungkin tidak pernah peduli pun mengenai status kesucian basuhan pakaian kita di dalam mesin basuh.

Elit Laundry ternyata lain dari yang lain. Apa yang dilakukannya kini secara langsung menjamin kebersihan dan kesucian pakaian pelanggan selain dalam masa yang sama memudahkan urusan ibadah mereka. Ianya juga dilihat berjaya menghakis stigma dalam kalangan sebahagian masyarakat Islam yang selama ini ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan dobi layan diri.

Isu ini tidak perlu diperbesarkan dan tidak ada kena mengena sama sekali dengan polisi perkauman. Justeru, ianya tidaklah perlu dijadikan polemik baru dalam masyarakat memandangkan apa yang dilakukan oleh Elit Laundry hanyalah membantu memelihara urusan agama Islam yang meletakkan kesucian sebagai keutamaan. Dan orang Islam yang cakna dan prihatin perlu bersyukur untuk itu.

Bagi orang bukan Islam pula, adalah baik untuk mereka setidak-tidaknya melihat hal ini sama pentingnya mereka melihat sensitiviti masyarakat Islam terhadap anjing dan khinzir. Ini urusan ibadah orang Islam yang tiada kaitan langsung dengan sebarang bentuk perkauman yang digembar-gemburkan. Dalam hal ini, orang bukan Islam juga boleh sahaja memilih untuk ke premis perkhidmatan dobi lain yang berdekatan. Masalah ini akhirnya boleh selesai semudah itu.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts