Monyet oh monyet!

by Oh! Semput


HOME Posted on 17 Sep 2020 01:00:53



Batu Pahat: Penangan seekor monyet yang berswafoto menggunakan telefon pintarnya, Muhammad Zackrydz Mohd Rodzi secara tiba-tiba meraih populariti segera bukan saja dalam Malaysia, malah di luar negara.

Penuntut Diploma Sains Komputer, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka itu berkata, segalanya bermula apabila telefon pintarnya, iPhone XS Max yang disangka hilang rupanya dilarikan haiwan itu, Sabtu lalu.

Katanya, dia menyedari telefon pintar yang dibelinya setahun lalu itu hilang selepas bangun tidur di rumahnya di Parit Besar, di sini, Sabtu lalu.

"Saya bingung sebaik bangun tidur saya dapati telefon hilang dan cuma tinggal sarung telefon saja.

"Puas saya mencari dalam rumah dan bertanyakan ahli keluarga, namun telefon itu masih tetap tidak dijumpai.

"Saya juga berusaha menghubungi nombor saya, ada bunyi 'ringing' tetapi tidak membantu saya mengesan di mana lokasinya," katanya kepada Harian Metro.

Enggan berputus asa, menurutnya, petang Ahad dia bersama abangnya ke belakang rumah meneruskan pencarian selepas bapa mereka mengesyaki monyet melarikan telefon pintar itu.

"Pada mulanya saya rasa tak masuk akal, kalau monyet hendak ambil telefon itu, tetapi saya cuba juga pergi ke belakang rumah kerana pada hari kejadian memang tingkap bilik saya dibuka.

"Abang mula membuat panggilan ke nombor saya sebelum kami mendengar bunyi telefon dari arah hutan berdekatan kira-kira 30 meter dari rumah kami.

"Sebaik sampai ke lokasi itu, betul tekaan bapa apabila kami berjaya menemui telefon itu yang penuh dengan lumpur kerana kebetulan hujan semalaman di tempat kami," katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia membersihkan telefon pintar itu sebelum membuat pemeriksaan untuk melihat keadaan alat telekomunikasi itu.

"Sebenarnya jiran saya juga menerima nasib sama sebelum ini hingga telefon mereka pecah, tetapi saya mungkin lebih bernasib baik apabila tidak rosak teruk cuma terjejas pada komponen bahagian pengecasan.

"Bapa saudara saya saja bergurau mengesyorkan saya memeriksa telefon itu mana tahu ada gambar monyet itu.

"Apabila saya tengok galeri telefon saya memang betul penuh dengan gambar monyet itu berswafoto membuatkan saya tidak dapat berkata-kata kerana terperanjat monyet pun boleh berswafoto.

"Walaupun telefon saya memang menetapkan pada mod kunci tetapi ada logiknya mungkin monyet itu berjaya mengaktifkan sistem skrin sesentuh iPhone dan membuka aplikasi kamera," katanya

Menurutnya, perkara itu menjadi bahan jenaka keluarga dan sanak saudaranya sebelum dia berkongsi peristiwa jarang berlaku itu kepada rakan di Twitter, malam Ahad lalu.

"Niat saya cuma berkongsi pengalaman jarang berlaku itu, tidak sangka pula penangan kisah monyet ini hebat sekali hingga mendapat perhatian luar biasa.

"Permintaan rakan dan pengikut di media sosial tiba-tiba naik mendadak contohnya Instagram daripada 4,000 pengikut meningkat kepada lebih 200,000 pengikut, malah ada yang menghantar mesej peribadi semata-mata mahu mengetahui cerita lanjut pasal monyet unik itu.

"Saya juga dihubungi dan diwawancara beberapa agensi berita luar negara terkemuka termasuk BBC, Reuters, CNN, UNILAD dan pelbagai portal lain," katanya yang mahu menyimpan gambar monyet itu sebagai kenangan.

Katanya, dia menganggap peristiwa jarang berlaku itu mengandungi hikmah tersendiri termasuk lebih peka dan berwaspada pada masa hadapan.

"Peristiwa melucukan ini memberikan pengalaman dan kenangan cukup unik buat saya yang tidak akan dilupakan sampai ke tua dan mahu kongsikannya kepada anak cucu saya kelak.

"Apa yang penting kejadian ini memberikan peringatan bermakna kepada saya supaya tidak cuai termasuk menutup tingkap atau ruang terdedah bagi mengelak dimasuki haiwan.

"Selain itu, kejadian ini mengajar saya tentang kepentingan kita memuat naik aplikasi pengesan lokasi bagi memudahkan kita mengesan kedudukan telefon sekiranya hilang," katanya.

Sehingga kini, perkongsian pemuda itu meraih lebih 200,000 tontonan serta lebih 5,000 ulang ciap di Twitter.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...