by Oh! Semput
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimaklumkan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan kekal sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT), menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Memetik laporan daripada Berita Harian, perkembangan itu diumumkan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebulat suara sebagai Pengerusi baharu PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Takiyuddin menyatakan mesyuarat susulan akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti semula jawatan yang kosong selepas mendapat arahan daripada pengerusi baharu.

Mengulas kedudukan Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh, beliau menjelaskan perubahan dalam struktur parti tidak menjejaskan peranan di Dewan Rakyat.

Artikel lain: Naib Presiden PAS ganti tempat Muhyiddin! Dr Samsuri dipilih Pengerusi PN yang baharu
Dalam masa sama, PAS yang kini mempunyai 43 Ahli Parlimen dijangka mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, menggantikan penyandang ketika ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ujar Takiyuddin, mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam itu berjalan harmoni dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi PN.
: Berita Harian (Mohd Nasarudin Parzi dan Nurhanim Osman)