by Oh! Semput
Apple dilapor sedang membangunkan ciri ‘split-screen’ adaptif yang membolehkan paparan aplikasi disesuaikan dengan lebih baik dalam mod landskap.
Dalam satu hantaran di Weibo yang dilaporkan MacRumors, peniris terkenal Fixed Focus Digital berkata Apple sedang membangunkan keupayaan yang dipanggil “Parallel View” untuk iOS, dengan tujuan untuk menyelesaikan kelemahan berterusan platform tersebut pada paparan skrin besar dan mod landskap.

Pendekatan ini menyerupai fungsi Parallel View pada HarmonyOS Huawei yang membolehkan paparan aplikasi telefon pintar disesuaikan secara automatik pada paparan landskap dan skrin lebar tanpa memerlukan pembangun aplikasi mengubah reka bentuk asal mereka.
Ciri baharu ini juga berkait rapat dengan perancangan Apple untuk memperkenalkan iPhone boleh lipat atau disebut-sebut sebagai iPhone Ultra yang mempunyai skrin dalaman sekitar 7.8 inci.
Dengan saiz skrin yang lebih besar, aplikasi iPhone sedia ada berisiko tidak dipaparkan dengan baik kerana kebanyakannya direka untuk skrin menegak yang lebih kecil. Tanpa sokongan penyesuaian sistem, sesetengah aplikasi mungkin hanya akan dipaparkan dalam bentuk berbingkai pada skrin yang lebih besar.
Dakwaan ini turut menguatkan laporan terdahulu daripada Mark Gurman yang menyatakan iOS 27 akan menyokong paparan dua aplikasi secara sebelah-menyebelah pada peranti boleh lipat, bersama reka bentuk seumpama iPad termasuk bar navigasi di bahagian sisi untuk aplikasi tertentu.
Apple dijangka bakal memperlihatkan iOS 27 di WWDC 2026 pada minggu depan, sebelum pelancaran rasmi pada September bersama model iPhone 18 Pro dan iPhone boleh lipat.
{suggest}
iOS 27 Mungkin Bawa Ciri ‘Split Screen’ Adaptif Untuk Aplikasi iPhone WISER.MY.