by Oh! Semput

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa dukacita terhadap nahas bas ekspres yang meragut 14 nyawa. – Foto Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa dukacita terhadap nahas bas ekspres yang meragut 14 nyawa di Kilometer 137.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, Pagoh dekat sini, awal pagi tadi.
“Saya berasa amat dukacita dengan makluman berita kehilangan nyawa dalam tragedi kemalangan bas di Pagoh pada awal pagi ini. Saya turut bersimpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang dalam tragedi yang memilukan ini.
“Semoga Allah berikan semangat serta kekuatan kepada mereka yang sedang berkabung. Doa saya agar mereka yang cedera akan pulih sepenuhnya,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, orang ramai juga perlu berhati-hati ketika cuti musim perayaan ini selain mempunyai tanggungjawab bagi memastikan tidak berlaku kecelakaan atau kehilangan nyawa apabila berada di jalan raya.
Category: Semasa