by Oh! Semput
Adakah Amerika Syarikat dan Korea Utara akan berperang? 25% ya, 75% tidak.
Salah satu andaian yang paling asas dalam kajian hubungan antarabangsa (IR) ialah aktor yang rasional, yakni, pemimpin negara yang memiliki kekuatan tentera akan bertindak mengikut pertimbangan kesan tindakan mereka. Orang gila tidak mungkin dapat hidup dalam politik antarabangsa. Adolf Hitler, Mao Zedong dan ramai yang kelihatan gila sebenarnya merupakan aktor yang berstrategi rapi untuk mencapai tujuan. Kim Jong-Un dan Donald Trump juga tidak terkecuali.
Kalau sudah seminggu lebih pun masing-masing belum melepaskan tembakan, maksudnya kedua-dua Trump dan Kim masih rasional. 15 April yang lalu, Kim mengadakan pertunjukan ketenteraan sempena Hari Matahari (sambutan ulang tahun kelahiran Kim Il-Sung, atuk kepada Kim Jong-Un) untuk menggertak Amerika Syarikat. Hanya orang yang rasional sahaja boleh melakukan ‘show of force’ kerana ia adalah sejenis perang psikologi, dan orang yang kurang siuman tidak boleh meneka isi hati orang. Namun malangnya Kim mendapat malu besar kerana peluru berpandunya sekali lagi gagal berfungsi.
Berdasarkan andaian aktor rasional, Teori Permainan (‘Game Theory’) telah dibangunkan untuk membuat ramalan pergerakan dan strategi negara-negara. Teori Permainan dibangunkan oleh John von Neumann dan Oskar Morgenstern pada tahun 1944 dan seterusnya dikembangkan oleh tokoh seperti John Nash (watak utama filem ‘A Beautiful Mind’) dan Thomas Schelling.
Teori Permainan membayangkan aktor dalam politik dunia sebagai pemain dalam satu set permainan atau pertandingan yang masing-masing mengolah langkah untuk memaksimakan ganjaran (‘payoff’). Model Teori Permainan yang paling asas akan membuat simulasi dua pemain yang bergerak serentak, berdasarkan pilihan-pilihan yang ada di tangan. Sama ada pemain akan mendapat ganjaran positif (menang), ganjaran negatif (kalah) atau ganjaran sifar (seri) bergantung kepada kejayaan mereka meneka langkah pihak lawan selanjutnya.
Selain model Dilema Banduan (‘Prisoners’ Dilemma’), model permainan yang paling selalu diaplikasikan dalam IR ialah ‘The Game of Chicken’ atau ‘The Game of Dare’. Ia dinamakan sebagai ‘The Game of Chicken’ kerana ia menguji siapa yang lebih cepat mengecut atau dalam Bahasa Inggeris, ‘chicken’.
Situasi sama seperti dua pemandu yang masing-masing membawa kereta memecut mendepani satu sama lain. Sesiapa yang berpusing ke kiri atau kanan dikira mengalah kerana mereka ‘mengecut’, manakala pemandu yang terus memecut dikira pemenang kerana ‘berani’. Jika kedua-dua mengecut dan memusingkan kereta dari saling melanggar, hasilnya seri. Pihak yang mahu menang harus bertahan (‘hold ground’) manakala pihak lawannya mesti mengalah (‘back down’). Namun kalau kedua-dua pemandu tidak mengecut dan berlagak berani, akhirnya kedua-dua kereta akan melanggar dan boleh membawa maut. Aktor yang rasional akan menghindari senario ‘worst-off’ ini.
Hasil ‘standoff’ antara Amerika Syarikat dan Korea Utara ini bergantung kepada langkah-langkah Trump dan Kim. Berdasarkan model ‘Game of Chicken’, kita boleh meramalkan 4 senario pengakhiran krisis Korea Utara ini:
(1) kedua-dua mengalah. Amerika Syarikat dan Korea Utara mengadakan perundingan.
(2) Kedua-dua tidak mengalah. Perang meletus.
(3) Amerika Syarikat bertahan, Korea Utara mengalah.
(4) Amerika Syarikat mengalah, Korea Utara bertahan.
Antara keempat-empat senario tersebut, senario No. 1 dan No. 4 paling tinggi kemungkinannya. Ini kerana Trump walaupun kelihatan gila, dia sebenarnya telah mencapai apa yang dia mahu: ‘show of force’ untuk menunjukkan dia itu pemimpin yang tegas (‘resolve’). Trump ‘has nothing to lose’ kalau memusing pada saat ini, malah lebih baik jika dia memusing. Jadi lebih mudah bagi Amerika Syarikat untuk mengalah.
Tetapi lain cerita bagi Kim Jong-Un. Kim ‘has too much to lose’. Kalau dia mengalah, maka hilanglah wibawanya dalam dan luar. Dia akan dicabar oleh orang bawahan kerana menunjukkan kelemahan. Kim juga tidak mungkin mengalah pada China kerana selama ini dia berusaha untuk mencantas puak pro-Beijing (termasuk pakciknya Jang Song-Thaek), jadi Kim tidak akan menerima tekanan China. Senario No. 3 lebih berkemungkinan berlaku jika berlaku kudeta dalaman yang menggulingkan Kim Jong-Un.
Kalau senario No. 2 berlaku, ia akan lebih kepada perang terhad (‘limited war’) bukannya perang dunia. Krisis Korea Utara ini bukanlah krisis yang ‘intractable’ seperti Krisis Julai yang membawa kepada Perang Dunia Pertama (WW1) atau Krisis Danzig yang membawa kepada Perang Dunia Kedua (WW2). Dalam kedua-dua kejadian tersebut, kedegilan untuk mempertahankan sekutu (Rusia mempertahankan Serbia dalam WW1, Britain-Perancis mempertahankan Poland dalam WW2) menjadi punca perang, sedangkan dalam krisis ini China dan Rusia menyeru supaya semua bertenang, bukannya menyimbah minyak ke atas api.

Dalam ‘tweet’ Trump ada menyebut pasal ‘North Korea Problem’ tetapi dia tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan. Ia boleh merujuk kepada tindakan provokasi oleh Korea Utara. Trump tidak menamakan Kim Jong-Un sebagai ‘problem’. Maka Trump sendiri pun telah mewujudkan ruang untuk kedua-dua negara tersebut meredakan krisis.
Situasi dunia hari ini jauh berbeza dengan situasi Perang Korea tahun 1950. Putin bukan Stalin, Xi Jinping bukan Mao Zedong, Trump bukan Truman, dan masing-masing tidak mendapat untung jika perang berlaku.
‘The Game of Chicken’ ini juga berlaku semasa krisis Korea Utara dan Malaysia beberapa minggu yang lepas. Berdasarkan ramalan sama ada Korea Utara akan ‘hold ground’ atau ‘back down’, Malaysia telah bertindak berdasarkan pilihan yang paling optima.