by Oh! Semput
KUANTAN: Sri Pahang FC mahu momentum kemenangan diteruskan apabila berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat ini.
Ketua pasukan, Fadhli Shas berkata, kemenangan besar 5-1 ketika menewaskan PDRM FC Ahad lalu, membantu menaikkan kembali semangatnya bersama rakan sepasukan.
"Dengan Izin Allah SWT, semua pemain sememangnya berasa sangat bersyukur dengan kemenangan itu selepas beberapa perlawanan berakhir keputusan seri pada perlawanan sebelumnya.
"Rasa syukur ini memberi semangat dan motivasi yang lebih baik buat semua untuk meletakkan kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
"Bagi saya tiada yang lebih menggembirakan untuk mengekalkan kemenangan pada perlawanan seterusnya terutama sokongan daripada peminat skuad Tok Gajah," katanya.
Selepas sembilan perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 10 mata dan melonjak dua kedudukan di kedudukan kesembilan sebelum ini.
Ditanya peluang membawa pulang tiga mata di Alor Setar, Fadhli berkata, peluang itu sememangya ada tetapi mereka perlu bekerja keras dan memanfaatkan segala peluang yang ada.
Katanya, ini kerana cabaran bermain di tempat lawan sentiasa berbeza kerana tuan rumah bermain di halaman sendiri.
"Namun, kami sangat berharap dapat meneruskan keputusan yang positif serta beroleh kemenangan buat Sri Pahang untuk terus melonjakkan kedudukan dalam saingan liga," kata pemain pertahanan berpengalaman itu. #HarianMetro