Pahang Kenal Pasti Kawasan Hutan Di Atas Tanah Kerajaan Di Negeri Ini Untuk Dicadangkan Sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) Baharu

by Oh! Semput


5
SHARES
65
VIEWS
Posted on 13 May 2026 13:31:57

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mengenal pasti kawasan berhutan di atas tanah kerajaan di negeri ini untuk dicadangkan sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil dari masa ke masa selari dengan dasar kerajaan negeri dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar.

Menurutnya, terbaru, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 22 April lalu meluluskan permohonan pewartaan tanah kerajaan dalam Ekologi Central Forest Spine iaitu Hutan Simpan Bera dan Rizab Ramsar Bera sebagai HSK melibatkan kawasan seluas 524 hektar.

“Sehingga kini, keluasan HSK di Pahang 1.589 juta hektar atau 44.13 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri ini iaitu 3.60 juta hektar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PN-Tahan) berhubung keluasan HSK di Pahang dan dasar kerajaan negeri bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Melalui jawapan itu, Wan Rosdy berkata, setiap kawasan HSK yang dinyahwartakan untuk tujuan ekonomi dan kepentingan awam digantikan dengan kawasan hutan lain atas tanah kerajaan yang mempunyai nilai setara.

“Dasar kerajaan negeri ketika ini, setiap kelulusan nyahwarta mesti disertakan dengan kawasan gantian. Saya telah mengingatkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) supaya memastikan kawasan gantian benar-benar tersedia terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan dikeluarkan.

"Kerajaan negeri melalui JPNP turut mengamalkan konsep pengurusan hutan secara berkekalan demi memelihara alam sekitar di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sebarang kelulusan untuk pembangunan HSK di negeri ini tidak melebihi 11,500 hektar setahun sebagaimana yang dibenarkan Majlis Tanah Negara.

Mengenai jumlah kos lepas yang diterima hasil pemeliharaan kawasan hutan, beliau berkata, Pahang menerima kira-kira RM72 juta kos lepas daripada kerajaan Persekutuan sejak 2022 sehingga kini.

Bagaimanapun katanya, pemberian itu setakat ini dalam bentuk projek, bukan secara tunai seperti yang diharapkan.

“Saya selalu bangkitkan perkara itu supaya kos lepas itu diberikan secara tunai.

"Jika tidak 100 peratus dalam bentuk tunai, saya memohon sekurang-kurangnya 50 peratus tunai dan selebihnya projek, namun sehingga kini semuanya masih dalam bentuk projek,” katanya. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts