Pandang Pertama: iQOO – Adakah Ini Erti Peranti ‘Gaming’ Sebenar?

by Oh! Semput


HOME Posted on 26 Jun 2019 02:04:06



Di dunia ini banyak sahaja peranti mercu yang berkuasa. Peranti mercu sepatutnya mempunyai pengalaman penggunaan yang memuaskan secara keseluruhan, namun ada sahaja yang masih kurang gemar dengan sesuatu jenama itu. Jadi disebabkan itu, wujudnya sub-jenama dari pengeluar peranti untuk hadir dengan peranti yang hanya memfokuskan satu perkara utama sahaja.

Contoh Xiaomi dengan Pocophone yang memfokuskan peranti mercu harga murah, kemudian terdapat juga Blackshark yang hanya memfokuskan permua, Oppo pula mempunyai Realme yang memfokuskan gaya hidup dan peranti murah yang kelihatan premium. Terkini, Vivo juga telah hadir dengan sub-jenama tersendiri – iQOO. Sebuah peranti mercu yang memfokuskan permua dan dijual pada harga yang agak murah.

Spesifikasi

Vivo iQOO adalah peranti mercu yang dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon 855. Ia dipadankan pula dengan memori dari 6GB RAM sehingga 12GB RAM (model iQOO Monster) dan storan dalaman  128GB atau 256GB. Untuk skrin ia menggunakan panel Super AMOLED bersaiz 6.41-inci FHD+. Rekaan skrin adalah jenis bertakuk kecil dan saiz bingkai yang boleh dikatakan agak nipis. Untuk kamera, ia menggunakan tetapan tri-kamera dari lensa 12MP + 13MP lensa ultra-lebat dan 2MP lensa mengukur kedalaman. Kamera swafoto pula adalah 12MP.

Peranti ini masih lagi mempunyai port bicu audio 3.5mm dan hanya mempunyai pembesar suara mono. Bateri berkapasiti 4000mAH dengan sokongan pengecasan pantas 44W Vivo Super FlashCharge. Terdapat butang khas untuk pembantu maya di kanan dan di kiri terdapat butang yang terbina dalam bingkai yang dinamakan ‘Monster Touch’ untuk bermain permua dengan kesan getaran 4D yang realistik. Untuk menjadikan peranti ini sebagai sebuah peranti permua, di bahagian belakang terdapat jalur lampu LED RGB bernama ‘Monster Halo‘ dan di dalam terdapat sistem penyejukan cecair.

Rekaan

Sebelum saya ceritakan pengalaman penggunaan peranti ini, mari kita lihat rekaan unik pada Vivo iQOO ini. iQOO walaupun dijual pada harga yang murah ia masih kelihatan premium dan apabila berada di tangan, ia terasa yang ia adalah sebuah peranti yang ‘mahal’. Di belakang terletaknya kamera tri-lensa, lampu LED ‘Monster Halo’ dan juga penjenamaan iQOO.

Di hadapan adalah skrin yang boleh dikatakan cantik dan hitamnya cukup gelap. Sekilas pandang skrinnya adalah seakan Xiaomi Mi 9T. Takuk kecil itu agak mengganggu, kerana ini adalah peranti gaming ia sepatutnya memberikan pengalaman yang lebih imersif. Di atas adalah lokasi mikrofon dan port bicu audio 3.5mm dan di bawah pula adalah port USB-C, pembesar suara mono dan satu lagi mikrofon.

Sisi kira adalah sisi yang menarik. Ia bukan sahaja terdapat butang kuasa dan butang aras suara, tetapi di sisi ini juga terletaknya kawalan ‘Monster Touch’ yang mempunyai getaran hebat untuk mengawal permua. Di sisi kanan adalah slot kad SIM, butang seru pembantu maya dan juga penjenaam Vivo.

Pengalaman Penggunaan

Sepanjang satu hari penuh saya menggunakan peranti ini, jelas sekali ia hanya memfokuskan permua. Ini kerana, segala ciri dan fungsi yang tersedia pada peranti memang cukup untuk seorang yang hanya ingin bermain permainan mudah alih.

Pertama adalah skrin. Skrinnya cukup cantik dan mempunyai warna yang tajam dan pada saya memuaskan. Cuma seperti banyak peranti murah lain, kecerahan skrin ini adalah teruk di bawah cahaya matahari yang terik. Lain-lain adalah baik dan sentuhan juga tidak teruk. Jadi ia lebih sesuai dimainkan di dalam bilik atau tidak terlampau terdedah kepada cahaya luar. Jika anda lihat acara e-sukan permua, semuanya berlangsung di dalam dan bukan di luar bangunan dengan cahaya matahari terik memancar.

Click to view slideshow.

Kedua adalah kamera. Kameranya agak mengecewakan dan tidak begitu cantik. Percaya atau tidak, Vivo V15 Pro mempunyai hasil yang lebih baik. Hasil warna kamera ini sedikit pudar dan apabila terlampau terdedah kepada cahaya fokus sedikit lari. Butiran gambar juga tidak menarik kerana apabila dizoom ia penuh dengan hingar (noise). Pada waktu malam pula, lebih baik gunakan sahaja mod malam yang bernama ‘Night’ untuk hasil yang ‘ok’. Kerana jika tidak hasilnya sangat mengecewakan, penuh dengan hingar, butiran yang tiada dan pecah. Untuk kamera swafoto pula, ia okay, Sama sahaja sedikit pudar, namun dengan dengan cahaya yang baik dan lokasi yang bagus – hasilnya agak memuaskan. Lebih-lebih lagi mod bokeh swafoto yang mempunyai banyak penuras.

Click to view slideshow.

Ketiga semestinya prestasi. Prestasi pada peranti ini agak menakjubkan dan ketika bermain PUBG Mobile saya terus lupa akan dunia realiti. Pertama adalah kawalan ‘Monster Touch‘ yang sangat memuaskan, yang mana kawalan pada sisi peranti ini adalah sangat lancar dan responsif. Ia lebih baik daripada Asus ROG Phone atau Black Shark. Kesan getarannya juga agak baik dan terasa seronok ketika menembak. Cuma disebabkan peranti ini menjalankan sistem operasi versi China, ia tidak menyokong banyak permua. Untuk ‘Monster Halo’, ia hanya bernyala apabila Game Space dibuka atau permainan dari gedung aplikasi V-Strore yang Game Space cadangkan sahaja menyokongnya.

Click to view slideshow.

Saya sengaja mencuba permua lain seperti Asphalt 9, pengalaman bermain adalah memuaskan. Cuma sayang sekali, ia tidak menyokong kawalan ‘Monster Touch’ dan juga kesan getaran. Disebabkan ini adalah peranti mercu yang memfokuskan permua, ia turut mempunyai mod permua tersendiri ‘Game Cube’. Ia sama sahaja dengan mod permua peranti Vivo lain, cuma mod pada iQOO dijenamakan semula kepada ‘Game Space‘ yang mempunyai banyak fungsi tambahan termasuk mod e-sukan dan privasi lebih baik.

Keempat pula adalah bateri. Untuk sebuah peranti mercu, peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang mengagumkan. Saya mula gunakan peranti ini pada 10 pagi dengan baki bateri 100% untuk mengambil sampel gambar, melayari internet, bermain tiga permua berbeza dan juga menggunakan peranti sepanjang hari untuk kegunaan biasa – pada 11:45 malam, ia mempunyai baki bateri 50%. Kemudian, pengecasan pada peranti ini adalah 44W yang sangat pantas dengan teknologi Vivo Super FlashCharge.

Perlu diingatkan yang variasi 6/128 GB tidak menyokong sistem pengecasan ini. Ia hanya terdapat pada variasi 8/12 GB RAM sahaja. Kemudian, kabel USB-C pada variasi 8/12 GB RAM pula adalah unik kerana menggunakan jenis-L dan rekaan biji pil untuk lebih mudah bermain permua sambil cas peranti.

Konklusi

Peranti ini adalah satu peranti gaming yang sangat baik. Kenapa saya katakan begitu sedangkan pembesar suara hanya mono, kamera teruk dan banyak permua tidak menyokong fungsi ‘Monster Touch’ dan ‘Monster Halo’? Ini kerana pengalaman bermain permua lebih imersif adalah dengan set fon kepala, kamera pual tidak penting jika fokus adalah bermain permua dan untuk ‘Monster Touch’ dan ‘Monster Halo’ pula sokongannya buat masa ini terhad untuk permua di China sahaja.

Mungkin jika versi global akan datang (jika ia dilancarkan), ia mungkin akan menyokongnya. Namun pendapat saya, ciri dan fungsi pada iQOO ini sudah cukup untuk sesebuah peranti gaming. Jadi, adakah ini erti peranti gaming sebenar?

iQOO buat masa ini dijual di China sahaja dan di Malaysia hanya terdapat set import. Sistem operasi adalah Funtouch OS 9 berasaskan Android Pie versi China yang tidak menyokong banyak permua global dan juga GApps. Harga penukaran secara terus adalah dari RM1799 sehingga RM2579. Tetapi set import yang dijual di Malaysia, ia dijual pada harga RM2399 untuk variasi 12/256 GB. Jadi, secara tidak langsung ia adalah satu penawaran yang amat baik.

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...