CCTV pantau pembuangan sampah haram tepi sungai

by Oh! Semput


HOME Posted on 17 Dec 2019 06:01:29



KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ‘panas’ pembuangan sampah haram di sepanjang sungai utama di ibu negara sebagai langkah mengawal pencemaran sungai.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata cadangan itu akan diteliti dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar yang bersih dari sebarang pencemaran.

“Kita perlu pertingkat usaha penguatkuasaan ini dengan memasang CCTV di kawasan tertentu. Ini juga membantu dari aspek keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kalau ada kemalangan, orang jatuh dalam sungai, kita boleh pantau. Ia secara langsung membantu pihak berkuasa,” katanya ditemui media selepas Majlis Penyampaian Anugerah ROLPOP5 2019 di Lebuh Pasar Besar, ROL di sini hari ini.

Beliau akui, aspek penguatkuasaan masih perlu diberi perhatian memandangkan banyak sampah dibuang dalam sungai di ibu negara oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jumlah sampah dikeluarkan dari kawasan perangkap sampah masih tidak berkurangan. (Jumlahnya) masih ratusan tan. Itu adalah mungkin antara penanda kepada kempen kita berjaya atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Khalid berkata, rakyat perlu menjadi mata-mata kepada agensi penguatkuasaan bagi mengawal aktiviti yang boleh mencemarkan sungai seperti pembuangan sampah.

Katanya, Public Outreach Program (POP) juga perlu diperhebat bagi memupuk kerjasama serta meningkatkan sikap dan tingkah laku kumpulan sasar termasuk orang awam, penjaja dan pemaju dalam mengurangkan pencemaran.

“Program ini boleh menyemai rasa bertanggungjawab kita terhadap pemuliharaan sungai supaya pada jangka masa panjang, mampu merubah sikap masyarakat untuk memahami dan menghayati pentingnya memelihara sungai.

“POP bagi fasa satu dan dua yang meliputi kawasan hulu Sungai Klang dan Sungai Bunus sudah berjaya dilaksana pada 2012 dan kini diperkembangkan ke Fas 3A, 3B, empat dan lima, merangkumi semua kawasan Projek River Of Life (ROL),” katanya.

Pada majlis itu, seramai 31 aktivis tempatan, diiktiraf atas sumbangannya dalam memulihara Sungai Klang menerusi Program Pendekatan Awam Fasa 5 ROL.

Turut menerima anugerah pada majlis itu, dua wartawan Harian Metro, Nor Asyikin Hayin dan Nurul Husna Mahmud, yang menang bagi kategori media.

Khalid berkata, penduduk juga perlu diberi maklumat berkaitan penggunaan aplikasi Citizen’s Eye supaya melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan sungai.

“Aplikasi ini sudah dilancarkan, namun kita perlu tingkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang aplikasi itu untuk mengawal dan menjamin supaya sungai ini dijaga sepanjang masa,” katanya.

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...